India buat bantahan rasmi terhadap kenyataan Dr M

India buat bantahan rasmi terhadap kenyataan Dr M

Kuasa usaha Malaysia diseru kementerian dan diberitahu kenyataan perdana menteri 'tidak sensitif', kata laporan.

PETALING JAYA: India membuat bantahan rasmi terhadap kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berhubung undang-undang kewarganegaraan kontroversi yang mencetuskan tunjuk perasaan di India.

Mahathir dilaporkan kecewa kerajaan India yang mengaku negara sekular “sekarang mengambil tindakan-tindakan untuk menafikan kerakyatan bagi orang-orang Islam.”

Akhbar Times of India melaporkan kuasa usaha Malaysia di New Delhi diseru Kementerian Luar Negeri India dan diberitahu kenyataan-kenyataan seperti itu menyalahi amalan tidak mencampuri hal ehwal dalaman masing-masing dan hubungan 2 hala.

Malaysia juga diberitahu kenyataan-kenyataan seperti itu “tidak tahu dan tidak sensitif” dan digesa memandang hubungan 2 hala secara jangka masa panjang, kata laporan itu, memetik sumber-sumber yang tidak dinamakan.

Pada Jumaat, Kementerian Luar Negeri India menyifatkan kenyataan Mahathir tidak tepat dan menggesa Malaysia tidak mengulas perkembangan dalaman di India “tanpa memahami fakta-faktanya dengan betul”.

Pentadbiran Narendra Modi berkata Akta Pindaan Kewarganegaraan itu untuk membantu minoriti bukan Islam dari Afghanistan, Bangladesh dan Pakistan yang datang ke India sebelum 2015 dengan memberikan mereka kerakyatan.

Penunjuk perasaan berkata pengecualian terhadap orang Islam itu menunjukkan berat sebelah terhadap komuniti itu, yang membentuk 14% daripada penduduk India, dan undang-undang baru itu langkah terbaru kerajaan nasionalis Hindu meminggirkan mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.