Hanya Segamat masih dilanda banjir di Johor, keadaan di Tumpat terkawal

Hanya Segamat masih dilanda banjir di Johor, keadaan di Tumpat terkawal

Di Segamat, seramai 436 orang daripada 101 keluarga masih berada di 9 pusat pemindahan sementara setakat 12 tengah hari ini.

Menurut polis, walaupun paras air Sungai Golok berada di paras amaran dengan bacaan 2.30 meter dan beberapa kampung digenangi air, namun air dilaporkan semakin surut. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Hanya daerah Segamat masih terjejas banjir di negeri ini dengan seramai 436 orang daripada 101 keluarga masih berada di 9 pusat pemindahan sementara setakat 12 tengah hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri Tan Chen Choon menerusi kenyataan berkata, kesemua mangsa di Segamat itu melibatkan penduduk di Jalan Kolam Air, Kampung Batu Badak, Pogoh, Kampung Spang Loi, Kampung Tandong, Kuala Paya, Kampung Sanglang, Kampung Kuing Patah serta Kampung Bukit Tunggal.

Beliau berkata, pada sebelah pagi tadi seramai 37 orang daripada 7 keluarga di Parit Sulong dan Kampung Peserai Lama, Semerah berada di 2 pusat pemindahan sementara di Sekolah Agama Seri Chomel dan Balairaya Kampung Peserai Lama.

Namun, kedua-dua pusat pemindahan itu ditutup 10 pagi tadi selepas banjir surut sepenuhnya di kediaman kesemua mangsa yang terjejas itu.

Katanya walaupun hanya Segamat masih terjejas banjir, namun, pemantauan terhadap bencana itu terus dilakukan di seluruh daerah oleh semua agensi berkaitan.

Dalam pada itu situasi banjir yang melanda Tumpat sejak Jumaat lalu masih berada pada tahap terkawal dengan tiada penduduk dipindahkan.

Ketua Polis Daerah Tumpat Ab Rashid Mat Daud berkata, walaupun paras air Sungai Golok di jajahan tersebut berada di paras amaran dengan bacaan 2.30 meter dan beberapa kampung digenangi air, namun air dilaporkan semakin surut.

“Sehingga pagi ini keadaan banjir di kawasan yang terjejas sudah bertambah baik dan air juga mulai surut, namun penduduk masih dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat tinjauan di Balai Polis Kuala Jambu dan sekitar laluan Jalan Keselamatan dan Pembangunan (Kaseben) di sini, hari ini.

Katanya antara beberapa penempatan yang terjejas adalah di Kampung Kuala Jambu, Kampung Bendang Pak Yong, Kampung Teluk Jering dan Kampung Simpangan selain dua balai polis turut dinaiki air iaitu Balai Polis Kuala Jambu dan Balai Polis Simpangan.

“Apa yang kita khuatiri adalah jika berlaku air laut pasang besar berserta hujan berterusan yang mungkin akan menyebabkan paras air Sungai Golok kembali meningkat sekali gus menyebabkan banjir kembali berlaku.

Dalam perkembangan sama Ab Rashid berkata Balai Polis Kuala Jambut terpaksa beroperasi di kawasan yang lebih tinggi selepas balai berkenaan dinaiki air sedalam 0.7 meter sejak banjir gelombang pertama 3 minggu lepas.

“Kita terpaksa beroperasi di bangunan bersebelahan balai polis yang kedudukannya lebih tinggi untuk tujuan keselamatan dan pihak kami juga memindahkan dokumen penting ke tempat yang lebih tinggi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.