Umno persoal cadangan sistem ‘perwakilan berkadar’

Umno persoal cadangan sistem ‘perwakilan berkadar’

Timbalan Presiden Mohamad Hasan berkata penggantian penyandang secara automatik menyekat hak rakyat memilih wakil mereka.

Timbalan Presiden Mohamad Hasan.
PETALING JAYA:
Umno mempersoalkan kewajaran sistem “perwakilan berkadar” yang dicadangkan Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC), mengatakan pembaharuan amalan pilihan raya mestilah tidak janggal kepada sistem demokrasi Malaysia.

Timbalan Presiden Mohamad Hasan difahamkan cadangan itu akan menyebabkan pilihan raya kecil tidak akan diadakan jika berlaku kekosongan kerusi, serta tidak akan dilaksanakan di Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata demikian apabila dimaklumkan SPR akan melaksanakan beberapa cadangan ERC sebagai sebahagian dari pembaharuan amalan pilihan raya. Jawatankuasa itu mencadangkan sistem perwakilan berkadar bagi kerusi Parlimen pada Oktober.

“Saya menyeru agar segala pembaharuan amalan pilihan raya dilaksanakan dengan telus, mengambil kira kearifan tempatan dan memberi nilai kepada sistem pilihan raya ‘ala Malaysia’ yang terbangun semenjak negara merdeka,” katanya dalam kenyataan semalam.

Berkenaan pilihan raya kecil tidak akan diadakan, Mohamad berkata penggantian penyandang secara automatik menyekat hak rakyat memilih wakil mereka, mengingatkan hak ikut serta mempunyai nilai yang tinggi dalam demokrasi.

“Cadangan ini juga bermakna, tiada lagi sistem yang membenarkan individu tanpa parti bertanding dalam pilihan raya,” katanya lagi. “Akhirnya demokrasi di negara ini akan menjadi gelanggang percaturan parti politik dan tidak lagi tentang perwakilan rakyat yang sebenarnya.”

Lebih mengelirukan apabila dikatakan Sabah dan Sarawak akan terus menggunakan sistem “first-past-the-post” sedia ada.

“Apa rasionalnya perlu ada 2 sistem berlainan antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak?” katanya.

Pengerusi ERC, Abdul Rashid Abdul Rahman pada sidang media pada Okt berkata sistem perwakilan berkadar sesuai diadakan bagi memilih parti untuk membentuk kerajaan, dan dilihat lebih adil kepada parti-parti kecil untuk mendapat tempat di Dewan Rakyat.

“Pemilihan bukan bersandarkan kepada calon, tetapi parti yang bertanding. Misalnya sesuatu parti mendapat 60 peratus undi, maka parti itu akan dapat 60 peratus kerusi,” katanya.

Beliau bagaimanapun mencadangkan sistem “first-past-the-post” dikekalkan di peringkat Dewan Undangan Negeri, kerana rakyat masih memerlukan wakil untuk menjadi penghubung dengan kerajaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.