Rakyat Turki berarak untuk Uighur, solidariti dengan Mesut Ozil

Rakyat Turki berarak untuk Uighur, solidariti dengan Mesut Ozil

PBB dan kumpulan hak asasi manusia menganggarkan antara 1 juta hingga 2 juta orang ditahan di Xinjiang dalam apa yang dikatakan Beijing kempen anti-pengganas.

Mesut Ozil. (Gambar AP)
ISTANBUL:
Ribuan penunjuk perasaan berarak untuk komuniti Uighur di China di Istanbul semalam dan bersolidariti dengan pemain tengah Arsenal, Mesut Ozil selepas kritikannya terhadap dasar-dasar China ke atas minoriti Islam menyebabkan kegemparan.

Ozil minggu lalu memuatnaik mesej di media sosial mengangkat minoriti Uighur sebagai “pahlawan yang melawan penindasan” dan mengkritik tindakan keras China dan kebisuan umat Islam.

Penunjuk perasaan membawa sepanduk “Hentikan kekejaman” dan melaungkan “China pembunuh, keluar dari Turkestan Timur” dan “Turkestan Timur tidak bersendirian”, nama bagi wilayah Xinjiang yang digunakan pelarian Uighur.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan kumpulan hak asasi manusia menganggarkan antara 1 juta hingga 2 juta orang, kebanyakannya etnik Uighur beragama Islam, ditahan di Xinjiang dalam apa yang dikatakan Beijing kempen anti-pengganas.

China berulang kali menafikan sebarang penganiayaan terhadap orang Uighur dan kementerian luar negerinya berkata Ozil sudah terpedaya dengan “berita palsu”.

Turki pernah menyuarakan kebimbangannya mengenai situasi di Xinjiang, termasuk di Majlis Hak Asasi Manusia PBB pada Februari, tetapi belum mengulas mengenai hal Ozil ini.

Di sidang kemuncak Kuala Lumpur pada Khamis, satu soalan daripada hadirin mengenai layanan terhadap Uighur tidak diendahkan oleh pentas yang menampilkan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan; Presiden Iran, Hassan Rouhani; dan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Pada Sabtu, Arsenal menjauhkan diri daripada komone-komen Ozil, mengatakan ia berpegang kepada prinsip tidak terlibat dalam politik.

Ozil mendapat sokongan daripada bekas pengurus Arsene Wenger, yang mempertahankan hak pemain itu menyuarakan pandangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.