Walaupun sukar untuk dipercayai, namun inilah hakikat yang seluruh rakyat di dunia perlu tahu.

Seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan “dilantik” menjadi Datuk Bandar Kehormat Whitehall di Texas, Amerika Syarikat (AS).
Ia sekaligus menjadikan bayi ini sebagai datuk bandar termuda di negara itu.
Meskipun bayi ini, William Charles “Charlie” McMillian tidak mengetahui mengenai jawatan yang dipegang kini, namun 150 orang yang berada pada hari perlantikannya itu “cair” melihat telatah bayi tersebut.
Menurut laporan newsweek.com, bayi itu dilihat tampil dengan segak, mengenakan busana tuksedo hitam dan semua orang yang berada di situ berasa teruja untuk melihat bayi comel itu mengangkat sumpah untuk berkhidmat kepada komuniti tempatan di Grimes County.
Dia dengan gelaran popularnya “Mayor Charlie” pada ketika itu ditemani kedua ibu bapa angkatnya, Chad dan Nancy McMillian berdiri di hadapan warga tempatan yang memberikan tepukan gemuruh kepada datuk bandar termuda itu.
Menjadikan moto “Make America Kind Again”, Mayor Charlie “berdiri” di podium dan dilihat semua yang hadir pada waktu itu mahu memeluk bayi tersebut kerana teruja dengan perlantikan itu.
“Semua orang mahu memeluknya dan perasaan kasih sayang begitu ketara sekali. Kita sedang berada dalam waktu sukar dan Datuk Bandar Charlie membantu mengembalikan keamanan dan kebaikan di dalam komuniti. Itu merupakan matlamat sebenar,” kata Josh Fultz, seorang ahli majlis bandar Navasota yang hadir ke upacara berkenaan.
Jika anda tertanya-tanya bagaimana seorang bayi comel boleh dilantik menjadi datuk bandar, jawapannya pada setiap tahun jawatan itu dilelong pada acara pengumpulan dana Jabatan Bomba Sukarela Whitehall.
Pada tahun ini, Charlie merupakan pembida tertinggi sekali gus membolehkannya “dilantik” sebagai datuk bandar untuk tempoh satu tahun.
Difahamkan, Datuk Bandar Charlie turut “membacakan” ikrar sebagai datuk bandar dalam upacara tersebut.
“Saya, William Charles McMillan berjanji akan melaksanakan sebaik mungkin tanggungjawab sebagai Datuk Bandar Whitehall.
“Berbuat baik kepada semua di taman permainan, mempromosi kehidupan, melindungi dan mempertahankan komuniti Whitehall dan menghantar biskut kepada sukarelawan Jabatan Bomba, jadi bantulah saya, ibu dan ayah,” lapor media berkenaan.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]