Suami isteri didakwa perdagang amah Indonesia

Suami isteri didakwa perdagang amah Indonesia

Tertuduh memperdagangkan mangsa yang berusia 29 tahun bagi maksud eksploitasi pengabdian, dengan menggunakan kekerasan dan menyebabkan cedera parah.

Suami isteri dari Ipoh didakwa memperdagangkan pembantu rumah warga Indonesia bagi maksud eksploitasi pengabdian. (Gambar Reuters)
IPOH:
Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan memperdagangkan pembantu rumahnya, warga Indonesia dengan eksploitasi pengabdian, sejak 8 tahun lepas.

Tertuduh J Jayamalar, 36, dan suaminya, V Chandru, 35, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azman Abu Hassan.

Jayamalar yang merupakan suri rumah itu didakwa terhadap 2 pertuduhan iaitu memperdagangkan mangsa yang berusia 29 tahun bagi maksud eksploitasi pengabdian, dengan menggunakan kekerasan dan menyebabkan cedera parah di sebuah rumah di Taman Kledang Emas, antara 2011 sehingga 20 Okt lepas.

Bagi kesalahan menggunakan kekerasan, Jayamalar didakwa mengikut Seksyen 13 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, yang membawa hukuman penjara maksimum 3 tahun tetapi tidak melebihi 20 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi kesalahan menyebabkan kecederaan parah, Jayamalar didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai 7 tahun dan boleh dikenakan denda.

Chandru pula didakwa atas pertuduhan memperdagangkan pembantu rumah itu bagi maksud eksploitasi pengabdian di tempat dan masa yang sama, mengikut Seksyen 12 Atipsom 2007, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi 15 tahun dan boleh dikenakan denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Fadhli Ab Wahab menawarkan jaminan RM30,000 setiap seorang, namun, peguam Matthews Jude pula memohon mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM7,000 atas alasan Jayamalar dan Chandru mempunyai 2 cahaya mata selain menjaga ibu mentua berusia 73 tahun yang sakit tua serta mempunyai komplikasi jantung.

Azman kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM10,000 seorang dengan seorang penjamin dengan syarat kedua-dua tertuduh hendaklah melapor diri di balai polis berdekatan setiap 2 minggu dan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mahkamah turut menetapkan 20 Januari depan untuk tarikh sebutan semula kes dan penyerahan dokumen selain mengingatkan kedua-dua tertuduh supaya mematuhi syarat tambahan yang dikenakan atau mahkamah boleh membatalkan jaminan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.