
Ketuanya, Raymond Ahuar mendakwa beberapa individu di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mungkin menyalahgunakan kuasa dalam pembekalan dan pembayaran petrol dan diesel bersubsidi di Pagalungan dan Pensiangan.
Laporan dibuat susulan siasatan oleh ahli-ahli Pakatan Harapan Sabah selepas menerima aduan daripada akar umbi.
“Berdasarkan siasatan, kami mendapati bekalan minyak bersubsidi terhenti pada hujung bulan lepas, sedangkan kontrak pembekalan hanya tamat pada 31 Dis,” katanya selepas membuat laporan di pejabat SPRM hari ini.
Beliau mempersoalkan bayaran RM413,840 pada November, mengatakan 292,000 liter minyak yang dibekalkan ke daerah sekecil itu pada November sahaja adalah terlalu tinggi.
Ahuar berkata Pemuda PH Sabah sedia membantu siasatan SPRM.
Beliau berkata penduduk di kawasan pedalaman seperti Pagalungan dan Pensiangan, di mana beliau adalah ketua PKR bahagian, bergantung kepada minyak bersubsidi untuk bot-bot mereka, yang menjadi pengangkutan utama di sana.
“Rakyat terutama di kawasan pedalaman berhak mendapat minyak bersubsidi dan kerajaan harus pastikannya,” katanya.