Kebimbangan ‘bailout’ di Khazanah di sebalik usaha gabung 2 syarikat hartanah

Kebimbangan ‘bailout’ di Khazanah di sebalik usaha gabung 2 syarikat hartanah

Sumber berkata penggabungan ini pada dasarnya dilihat sebagai usaha UEM Sunrise untuk menyelamatkan Eco World.

Walaupun baru-baru ini Eco World Development Group melaporkan pendapatan lebih tinggi, hasil suku keempat mereka yang belum diaudit menceritakan sebaliknya.
PUTRAJAYA:
Usaha pihak tertentu supaya sebuah syarikat hartanah swasta yang dikaitkan dengan seorang ahli perniagaan terkemuka bergabung dengan syarikat milik kerajaan, UEM Sunrise, kini menimbulkan suasana tidak selesa dalam dana Khazanah Nasional, sumber yang boleh dipercayai memberitahu FMT.

Ini kerana pelan itu dianggap “bailout” yang mungkin mencetuskan tuduhan baru berkait kronisme terhadap pentadbiran Dr Mahathir Mohamad.

Difahamkan pihak tertentu di UEM Sunrise, syarikat pemaju hartanah yang dimiliki Khazanah, menentang cadangan untuk bergabung dengan Eco World Development Group, sebuah syarikat tersenarai awam yang terlibat dalam pembinaan beberapa bandar bersepadu baru serta projek mewah dengan nilai kasar pembangunan hampir RM90 bilion.

“Lembaga pengarah UEM Sunrise menentang cadangan itu. Mereka menolaknya,” kata sumber yang tidak mahu namanya didedahkan.

Bulan lalu, akhbar Singapura, The Straits Times menamakan ahli perniagaan Syed Mokhtar Albukhary, pemegang saham terbesar di Eco World, sebagai orang yang mengetuai usaha bergabung dengan UEM Sunrise, dengan bantuan pengasas Eco World, Liew Kee Sin.

UEM Sunrise bagaimanapun dilaporkan berkata ia tidak menerima apa-apa cadangan korporat untuk penggabungan tersebut.

FMT difahamkan beberapa pihak dalam Khazanah menyokong rancangan penggabungan itu, yang bakal melahirkan salah sebuah syarikat hartanah terbesar di Malaysia.

Tetapi sumber berkata berdasarkan kewangan kedua-dua entiti itu, UEM Sunrise berdepan kerugian.

“Terus-terang, ia merupakan `bailout’ untuk Eco World. Walaupun baru-baru ini mereka melaporkan pendapatan lebih tinggi, hasil suku keempat mereka yang belum diaudit menceritakan sebaliknya,” kata sumber itu.

Menurut maklumat Bursa Malaysia, sumber itu berkata, jumlah pinjaman Eco World mencecah hampir RM4 bilion, termasuk hutang jangka pendek hampir RM2 bilion.

“Ini mendedahkannya kepada risiko pembiayaan semula yang tinggi,” kata sumber itu.

Menurutnya lagi, ia menunjukkan Eco World mempunyai imbangan tunai sekitar RM600 juta, dengan peningkatan hartanah yang tidak terjual daripada RM169 juta pada 2018 kepada hampir RM600 juta pada 2019.

“Penggabungan ini pada dasarnya akan melihat UEM menyelamatkan Eco World daripada keadaan sekarang,” tambahnya.

“Akan berlaku serangan politik yang kuat sekiranya timbul isu `bailout’ disebabkan keadaan kewangan di Eco World.

“Rakyat akan mempersoalkan bagaimana penggabungan ini dapat memberi manfaat kepada negara dan kebajikan mereka,” kata sumber itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.