
Piala itu, berbentuk sebuah glob, memaparkan kesemua bandar tuan rumah Sukan Olimpik, yang menjadi simbol kepada pergerakan Olimpik dengan aksi altet-atlet sukan utama di Malaysia di bahagian bawah, termasuk 3 yang menjadi kegemaran Sultan Abdullah iaitu bola sepak, hoki dan polo telah disampaikan pada Majlis Anugerah dan Makan Malam Tahunan Majlis Olimpik Malaysia ke-26 di sini.
Piala tersebut dibawa naik ke pentas oleh 4 pemenang pingat Olimpik negara, Cheah Soon Kit dan Rashid Sidek (Atlanta 1996), Datuk Lee Chong Wei (Beijing 2008, London 2012 dan Rio 2016) dan Pandalela Rinong (London 2012 dan Rio 2016).
Bekas pemain nombor 1 badminton dunia Chong Wei, kemudiannya menyerahkan piala tersebut kepada Presiden MOM Mohamad Norza Zakaria sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.
Sementara itu, pada majlis yang sama, ratu gimnas kebangsaan Farah Ann Abd Hadi dan juara wushu, Loh Choon How diisytiharkan sebagai Olimpian 2019.
Farah, 25, sekali lagi memberikan persembahan memukau untuk memenangi 3 pingat emas di Sukan SEA ke-30 di Filipina baru-baru ini, menjadikan keseluruhan 7 pingat emas dikutip, 2 perak dan 3 gangsa sejak penampilannya di Sukan SEA 2011 di Indonesia.
Di Filipina, beliau memenangi emas dalam acara wanita all-round, senam lantai dan palang bertingkat.

Farah juga menjadi gimnas artistik wanita negara pertama melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 ketika sesi kelayakan di Kejohanan Dunia di Stuttgart, Jerman pada Oktober.
Kali terakhir atlet gimnas layak ke acara sukan terbesar dunia itu ialah Au Li Yen sewaktu edisi Sydney 2000.
Sementara itu, Choon How membawa pulang 2 emas Sukan SEA dengan mengetepikan kesakitan dialaminya bagi menewaskan lawan bertaraf dunia dalam acara taijijian dan taijiquan lelaki.
Mereka masing-masing menerima RM10,000 dan pingat emas khas, yang disampaikan Al-Sultan Abdullah.
Majlis malam itu turut menyaksikan 5 tokoh sukan disenaraikan ke dalam ‘Hall of Fame’ MOM, iaitu satu pengiktirafan kepada atlet, pegawai sukan, wartawan sukan dan media.
Senarai didahului Almarhum Sultan Ahmad Shah atas sumbangan baginda kepada bola sepak, antaranya sebagai Presiden Bola Sepak Malaysia (FAM), Presiden Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) dari 1994-2002 dan Presiden AFF sejak 2011.
Tokoh lain yang terpilih adalah, bekas setiausaha agung MOM Sieh Kok Chi (polo air dan MOM); Rolan Wong Choon Tat (badminton); Abdul Manap Ibrahim (hoki); dan bekas pemain tenis SA Azman.