
Reza berkata sebelum ini hanya beberapa warga TLDM Lumut sahaja yang disyaki mempunyai simptom seakan jangkitan H1N1.
“Pada mulanya kami mengesyaki ia jangkitan H1N1 dan kami terpaksa menguarantin mereka sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas laporan yang tular di media sosial menyatakan penyakit itu tersebar di pangkalan berkenaan.
Bagaimanapun, selepas saringan kesihatan dibuat mereka didapati bebas daripada H1N1.
Beliau berkata demikian ketika hadir pada Majlis Graduasi 42 pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT) yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong hari ini.
Turut hadir, Panglima Tentera Darat Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi dan Panglima Tentera Udara Affendi Buang.
Mengulas mengenai status penerimaan kapal misi pesisir (LMS), Reza berkata unit pertama dijangka tiba pada bulan depan.
Kontrak perolehan 4 buah LMS antara kerajaan dan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd ditandatangani pada 23 Mac 2017.
Kontrak yang bernilai RM1.048 bilion itu akan dilaksanakan dalam tempoh 4 tahun bermula pada 2017 sehingga 2021.