MP gesa tindakan tegas terhadap peniaga sewa lesen kepada warga asing

MP gesa tindakan tegas terhadap peniaga sewa lesen kepada warga asing

Charles Santiago mengulas laporan peniaga tempatan sewakan lesen mereka kepada warga asing untuk memperoleh keuntungan dengan kerja yang minimum.

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Klang Charles Santiago menggesa majlis tempatan mengetatkan penguatkuasaan terhadap peniaga tempatan susulan gesaan ahli perniagaan terkemuka supaya kerajaan menghentikan warga asing daripada menjalankan perniagaan seumpama itu.

Ahli Parlimen DAP juga bercakap mengenai pemilik perniagaan tempatan yang menyewakan lesen mereka kepada pekerja asing untuk memperoleh keuntungan dengan kerja yang minimum.

“Kebanyakan masa, anda tidak melihat pemilik di sana. Anda hanya jumpa warga asing yang menguruskan tempat itu,” katanya kepada FMT.

Beliau menambah perniagaan warga asing berleluasa termasuk di Klang, dan mendakwa majlis tempatan tidak proaktif dalam mengendalikan isu itu.

“Mereka tidak banyak bertindak – tidak ada usaha untuk menghentikan amalan ini.

“Sekiranya anda memberikan lesen kepada rakyat Malaysia, dan mereka tidak berada di premis itu setiap masa, maka mereka hanya perlu membatalkannya (lesen),” katanya.

Beliau juga berkata rasuah boleh menjadi faktor kurangnya penguatkuasaan, menyatakan sesetengah pemilik perniagaan menerima maklumat sebelum serbuan dibuat.

“Apabila mereka serbu, entah macam mana pemilik tahu ia akan berlaku dan mereka muncul apabila serbuan itu dibuat.

“Jika tidak, warga asing yang mengendalikan perniagaan itu.”

Ameer Ali Mydin, pengarah urusan rantaian pasar raya Mydin, menyuarakan kebimbangannya terhadap warga asing yang secara terbuka terlibat dalam perusahaan kecil dan sederhana (PKS), mengatakan peluang itu harus disediakan untuk rakyat Malaysia.

Beliau berkata lebih baik warga asing membuka perniagaan besar atau francais kerana ia akan menawarkan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan, kerana banyak perniagaan besar seperti yang dimulakannya, bermula secara kecil-kecilan sebagai syarikat milik keluarga.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Raja Kamarul Bahrin memberitahu FMT, ia adalah salah untuk menganggap warga asing diberi lesen oleh majlis tempatan untuk menjalankan perniagaan kecil.

Beliau juga bercakap mengenai kemungkinan rakyat tempatan menyewakan lesen mereka kepada warga asing tetapi mengatakan ia sukar untuk dibuktikan.

Santiago berkata masalah itu menjadi punca ketidakpuasan dalam kalangan masyarakat, sambil menambah ia berlaku di peringkat peruncitan di mana kumpulan B40 dan M40 menjalankan urus niaga dan memperoleh pendapatan.

Beliau juga berkata beberapa pihak mengeksploitasi isu itu untuk manfaat mereka.

“Di sinilah majlis tempatan bersama-sama dengan kementerian perumahan dan kerajaan tempatan perlu bertegas.

“Perlu ada keinginan politik di peringkat majlis tempatan dan di kementerian terlibat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.