Iran cadang negara Islam guna mata wang kripto, Dr M setuju

Iran cadang negara Islam guna mata wang kripto, Dr M setuju

Malaysia sudah lama mencadangkan negara-negara mengurangkan penggunaan dolar AS, kata perdana menteri.

Presiden Iran, Hassan Rouhani (kanan), Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan membincangkan isu kewangan dunia Islam di Sidang Kemuncak KL hari ini.
KUALA LUMPUR:
Iran mencadangkan mata wang kripto diperkenalkan untuk kegunaan dalam kalangan negara-negara Islam sebagai mata wang alternatif untuk perdagangan.

Cadangan Presiden Hassan Rouhani itu bukan pertama seumpamanya, kerana pada 2002, Malaysia menggesa negara-negara Islam berdagang menggunakan dinar emas.

“Kita juga boleh pertimbangkan pelaburan usaha sama untuk menyokong syarikat-syarikat pemula dalam bidang teknologi, kata Rouhani pada Sidang Kemuncak Kuala Lumpur hari ini.

Sebelum itu, Rouhani dalam ucaptamanya menyeru negara Islam bekerjasama menyelamatkan dunia Islam daripada “dominasi dolar AS”, mengatakan rejim ekonomi Amerika Syarikat memberikan kuasa dunia itu kemungkinan untuk meningkatkan hegemoninya dengan ancaman sekatan dan keganasan ekonomi.

Cadangan Iran dipersetujui Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, mengatakan Malaysia sudah lama mencadangkan negara-negara mengurangkan kebergantungan kepada dolar AS.

Beliau berkata sekatan-sekatan AS boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara-negara yang menggunakan dolar AS.

“Kita dengar untuk pertama kali bahawa Iran dan Turki berpendapat kalau kita tidak ada dolar AS kita boleh guna mata wang sendiri atau mata wang biasa yang boleh dicipta jika kita bersetuju,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan menggesa negara-negara Islam tumpu pada kewangan Islam, mengatakan satu kumpulan kerja boleh ditubuhkan untuk menguruskan butirannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.