
“Kita berpeluang untuk bercakap secara bebas mengenai isu-isu kita, daripada Islamophobia kepada keganasan, perpecahan, pergaduhan dalaman yang membinasakan wilayah kita, dan konflik antara mazhab serta etnik,” kata Erdogan pada hari pertama sidang kemuncak itu.
Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengatakan penganjuran sidang di luar pertubuhan yang berpangkalan di Arab Saudi, yang berdekad memainkan peranan sebagai suara dunia Islam, bertentangan dengan kepentingan masyarakat Islam.
Mahathir dan Erdogan kecewa dengan rekod OIC sebelum ini yang dilihat hanya menunjukkan kerisauan tetapi gagal bertindak tegas menyokong perjuangan umat Islam.
Tanpa menyebut OIC, Erdogan berkata masalah terbesar yang dihadapi platform-platform yang menghimpunkan dunia Islam adalah kurang pelaksanaan.
“Kita masih belum ada sebarang kemajuan dalam perjuangan Palestin, kita tidak dapat menghentikan eksploitasi sumber-sumber kita, kita masih tidak boleh kata ‘tidak’ pada perpecahan dunia Islam akibat sektarianisme, itu sebabnya,” kata Erdogan.
Dua lagi pemimpin yang menghadiri perhimpunan hari ini ialah Presiden Iran Hassan Rouhani dan Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamid Al-Thani.
Sesetengah penganalisis mengesyaki keengganan Arab Saudi menyertai sidang itu berpunca daripada kebimbangan diasingkan secara diplomatik oleh saingan serantaunya iaitu Iran, Qatar dan Turki, yang ketiga-tiganya menghadiri sidang kemuncak itu.
Tidak mahu berpihak kepada sesiapa, Perdana Menteri Pakistan Imran Khan memilih menjauhkan diri daripada Sidang Kemuncak KL.
“Pakistan mahu menjadi sebahagian daripada penyelesaian, bukan sebahagian daripada masalah ini,” kata Menteri Penerangan Firdous Ashiq Awan kepada pemberita di Islamabad.