37,000 mangsa terjejas akibat banjir di Narathiwat

37,000 mangsa terjejas akibat banjir di Narathiwat

5 daerah di Narathiwat dilanda banjir iaitu Sukhirin, Waeng, Sungai Kolok, Chanae dan Si Sakhon.

Jabatan Meteorologi Thailand meramalkan hujan lebat di Nakhon Si Thammarat, Phatthalung, Songkhla, Pattani, Yala dan Narathiwat. (Gambar Bernama)
NARATHIWAT:
Hujan lebat selama 2 hari menyebabkan 5 daerah di Wilayah Narathiwat dilanda banjir dan kira-kira 37,000 penduduk terjejas.

Lima daerah yang dilanda banjir ialah Sukhirin, Waeng, Sungai Kolok, Chanae dan Si Sakhon.

Beberapa jalan di daerah Sukhirin dan Chanae tidak boleh dilalui kenderaan kecil.

Dalam satu kenyataan, Bahagian Mitigasi dan Pencegahan Bencana Alam Narathiwat berkata sehingga kini 37,171 penduduk dari 8,335 keluarga terjejas akibat banjir.

“Seramai 120 penduduk dari 55 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementera,” katanya.

Sementara itu, Zakariya Yusuf dari daerah Waeng menyifatkan banjir kali ini buruk apabila rumahnya yang tidak pernah dinaiki air selama 23 tahun ditenggelami air.

“Paras air naik mendadak pada awal pagi tadi. Kebanyakan barangan termasuk kereta dan perabot tidak sempat dipindahkan ke tempat yang selamat,” katanya ketika ditemui Bernama hari ini.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Thailand meramalkan hujan lebat di selatan Thailand iaitu di Nakhon Si Thammarat, Phatthalung, Songkhla, Pattani, Yala dan Narathiwat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.