Kita tak akan dakwa Malaysia negara Islam sempurna, kata Dr M

Kita tak akan dakwa Malaysia negara Islam sempurna, kata Dr M

Tapi masyarakat Islam dan bukan Islam hidup aman dan damai di Malaysia, kata perdana menteri.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad disambut Setiausaha Agung Sidang KL, Abderazzak Makri di majlis malam malam menjelang persidangan itu malam tadi. Beliau diiring Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali (kanan). (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Malaysia tidak akan mendakwa ia negara Islam sempurna, walaupun ia menunjukkan masyarakat Islam dan bukan Islam boleh hidup bersama aman dan damai, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Tradisi ini sejak kemerdekaan kita,” katanya, dan menambah walaupun majoriti rakyat beragama Islam, ia mempunyai minoriti yang besar daripada kepercayaan, budaya dan adat berbeza.

Mahathir berkata demikian dalam ucapannya di majlis makan malam menjelang Sidang Kuala Lumpur, yang bermula esok.

Beliau akui konflik kaum dan agama pernah berlaku, tetapi ia kecil berbanding masa keamanan, muhibah dan kemakmuran.

“Bagi kami, inilah seruan Islam – hidup aman bersama warga bukan Islam dan bekerjasama membina negara yang makmur, aman dan damai.”

Mengulas sidang 3 hari itu, yang bakal menampilkan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dan Presiden Iran, Hassan Rouhani, Mahathir berkata sesuatu mesti dilakukan untuk baiki kehidupan orang Islam serata dunia.

Beliau juga berkata ada keperluan untuk menangani Islamofobia.

“Kita perlu cari cara tangani kekurangan kita, kebergantungan kepada orang bukan Islam untuk melindungi diri kita daripada musuh-musuh Islam.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.