Bukan industri media saja berhentikan pekerja, MEF ulas insentif cukai

Bukan industri media saja berhentikan pekerja, MEF ulas insentif cukai

Shamsuddin Bardan berkata pengecualian cukai juga harus diberi kepada industri lain seperti perkhidmatan dan runcit.

Pengarah Eksekutif Shamsuddin Bardan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pengecualian cukai bagi mengelakkan pemberhentian pekerja tidak patut dikhususkan kepada media sahaja memandangkan industri lain juga berdepan masalah sama, kata Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) mengulas pengumuman Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Pengarah Eksekutif Shamsuddin Bardan berkata insentif yang lebih meluas akan membantu syarikat-syarikat di industri-industri lain mengekalkan pekerja yang berkemahiran.

Beliau menarik perhatian kepada masalah di industri perkhidmatan dan runcit yang menyaksikan penutupan cawangan-cawangan.

“Jika dapat dilakukan, syarikat lain juga dapat mengelakkan pemberhentian pekerja mereka,” katanya kepada FMT.

“Seharusnya mereka diberikan insentif supaya tidak berhentikan pekerja dan satu cara terbaik pastikan syarikat kekalkan mereka yang ada kemahiran dan sebagainya.”

Lim pada Isnin mengumumkan kerajaan sedia memberi pengecualian cukai kepada syarikat media susulan laporan mengenai pemberhentian pekerja secara berterusan membabitkan jenama terkenal.

Kelmarin dilaporkan 543 pekerja New Straits Times Press (NSTP) akan kehilangan kerja selepas 12 Mac depan susulan pelan rasionalisasi tenaga kerja oleh syarikat induk.

Sebelum ini, beberapa syarikat media menutup atau mengecilkan operasi yang menyebabkan ribuan kehilangan kerja sejak 3 tahun lalu, seperti Utusan Melayu yang menghentikan operasi pada 9 Okt selepas beroperasi sejak 1939.

Awal bulan lalu, Media Prima, yang memiliki New Straits Times Press dan beberapa saluran televisyen, mengumumkan penstrukturan semula akan selesai pada suku pertama tahun depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.