Amaran hujan lebat di negeri pantai timur, Sabah

Amaran hujan lebat di negeri pantai timur, Sabah

Manakala situasi banjir di beberapa kawasan di Johor dan Pahang tidak banyak berubah pagi ini.

MetMalaysia mengeluarkan amaran hujan lebat di seluruh Kelantan dan Terengganu serta beberapa daerah di Pahang dan Sabah. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca waspada dengan jangkaan hujan lebat berlarutan di seluruh Kelantan, Terengganu hari ini sehingga esok.

Turut mengalami cuaca yang sama dalam tempoh itu ialah beberapa daerah di Pahang dan Sabah.

MetMalaysia dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 9.55 pagi ini memaklumkan daerah yang terlibat di Pahang ialah Jerantut, Kuantan dan Pekan.

Di Sabah pula hujan lebat dijangka berlaku di kawasan pantai barat (Ranau dan Kota Belud), Sandakan, Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Kudat.

Manakala, situasi banjir di beberapa kawasan di Johor dan Pahang tidak banyak berubah pagi ini.

Di Johor, bilangan mangsa yang dipindahkan meningkat sedikit apabila seramai 9 dipindahkan hari ini menjadikan jumlah terkini 5,367 orang daripada 1,466 keluarga berbanding malam tadi (5,358 orang).

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri Tan Chen Choon berkata semua mangsa ditempatkan di 65 pusat pemindahan sementara (PPS) di 7 daerah iaitu Kluang, Kota Tinggi, Mersing, Kulai, Pontian, Batu Pahat dan Segamat.

“Kluang merupakan daerah yang mempunyai mangsa tertinggi iaitu 1,722 orang diikuti Segamat iaitu 1,197 orang. Bagaimanapun, Kluang menunjukkan trend menurun, tetapi Segamat meningkat sedikit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata 3 laluan di Kota Tinggi masih ditutup untuk semua kenderaan berikutan dinaiki air iaitu KM43 Jalan Lok Heng-Mawai, KM72/73 Jalan Johor Bahru-Mersing dan Jalan Felda Aping Timur.

Katanya, di Mersing terdapat 2 laluan iaitu di KM59 Jalan Johor Bahru-Mersing dan KM70 Jalan Johor Bahru-Mersing yang dibuka kepada kenderaan berat sahaja.

Di Pahang, jumlah mangsa banjir di Temerloh, Bera dan Rompin tidak berubah dengan 1,049 orang daripada 268 keluarga masih berada di 13 pusat penempatan sementara di 3 daerah itu.

Menurut Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, Rompin merekodkan jumlah pemindahan mangsa paling ramai iaitu 980 orang daripada 253 keluarga yang ditempatkan di 7 pusat penempatan sementara di daerah itu.

Angkatan Pertahanan Awam Pahang menerusi kenyataan medianya melaporkan paras air Sungai Lepar di Kuantan kini melebihi paras amaran manakala 6 lagi sungai berada pada tahap waspada.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.