Yusoff Rawther dipanggil ke Bukit Aman untuk jalani ujian poligraf

Yusoff Rawther dipanggil ke Bukit Aman untuk jalani ujian poligraf

Siasatan memasuki minggu ke-2 tetapi sumber memberitahu terdapat kebimbangan disabotaj oleh pihak tidak dinamakan.

Yusoff Rawther dipanggil kali ketiga ke Bukit Aman hari ini di mana dia akan menjalani ujian poligraf.
KUALA LUMPUR:
Polis akan memanggil Muhammed Yusoff Rawther lagi hari ini untuk melakukan ujian poligraf terhadapnya bagi membantu siasatan berhubung tuduhan serangan seksual terhadap Anwar Ibrahim, FMT diberitahu hari ini.

Bagaimanapun berdasarkan perbualan sama dengan sumber boleh dipercayai yang tidak mahu dirinya didedahkan, difahamkan terdapat kebimbangan siasatan mungkin “disabotaj oleh pihak tidak dinamakan”.

Difahamkan juga, Yusoff, yang laporan polisnya pada awal bulan ini mencetuskan siasatan kes mencabul kehormatan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) Bukit Aman, akan bertemu polis di Bukit Aman pada tengah hari, kali ke-3 dia dipanggil sejak 9 Dis.

Pegawai Bukit Aman enggan memberi maklumat lanjut mengenai ujian yang hendak dilakukan hari ini, atau mengulas kebimbangan mengenai sabotaj terhadap siasatan.

Penampilan Yusoff di Bukit Aman itu sehari selepas peguamnya, Haniff Khatri Abdulla berkata pemuda berusia 26 tahun tersebut bersedia untuk mengambil ujian poligraf bagi membantu polis mengesahkan dakwaannya.

Ujian poligraf, yang digunakan polis, tentera dan Suruhanja Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan mereka, memberi petunjuk fisiologi ketika sesi soal siasat, walaupun ia tidak semestinya diterima di mahkamah.

Ujian dijalankan juga tertakluk kepada perjanjian oleh pihak-pihak terlibat.

Sumber yang berhubung dengan FMT sejak awal siasatan, berkata akan selalu ada “kebimbangan terhadap sabotaj” bagi mengganggu siasatan.

“Kebimbangan ini, sama ada imaginasi atau memang benar berlaku, sentiasa ada terutama dalam kes melibatkan individu berkuasa dan berpengaruh,” kata sumber itu.

FMT tidak boleh mengesahkan dakwaan itu.

Anwar yang memberikan keterangan kepada polis minggu lalu sebelum pihak berkuasa ke rumahnya di Bukit Segambut dalam siasatannya, memberi jaminan untuk bekerjasama dengan siasatan tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.