3 beradik dapat MyKad selepas berbelas tahun jadi ‘warga asing’

3 beradik dapat MyKad selepas berbelas tahun jadi ‘warga asing’

Ia selepas bapa mereka berkahwin dengan ibu mereka warga Vietnam tanpa mengetahui perkahwinan itu perlu didaftarkan dengan JPN.

(Dari kiri) Kean Xhu, Joe Ey dan Joe Qian (2 dari kanan) menunjukkan surat kelulusan KDN yang diterima mereka ditemani M Kulasegaran (2 dari kiri).
PUTRAJAYA:
Tiga beradik dari Cheras akhirnya menerima kerakyatan negara ini selepas menanti permohonan kewarganegaraan mereka diluluskan sejak 4 tahun lalu.

Joey Ey, Kean Xhu dan Joey Qian masing-masing berusia 16 tahun, 15 tahun dan 13 tahun dikatakan terpaksa menjalani kehidupan sebagai warga asing sejak lahir hingga memasuki sekolah menengah.

Menurut bapanya yang hanya mahu dikenali sebagai Chen, 42, dia berkahwin dengan seorang wanita Vietnam tanpa mengetahui perkahwinan itu perlu didaftarkan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Dia turut melahirkan rasa lega apabila urusan anak-anaknya selesai meskipun mengambil masa 4 tahun.

“Sekarang saya ada 4 orang anak dan hanya anak ke-4 yang ada kad pengenalan (MyKad) sebab saya dah daftarkan perkahwinan kami beberapa tahun lalu.

“Masa anak pertama hingga anak ke-3 itu saya memang tak tahu perlu daftar dengan JPN bila berkahwin dengan warga luar.

“Apabila dapat surat kelulusan ini memang lega, akhirnya anak-anak saya dah diakui jadi rakyat Malaysia,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Hari Bertemu Pelanggan Kementerian Sumber Manusia, hari ini.

Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran sempat bertemu Chen bersama 3 anaknya hari ini disaksikan Persatuan Jaringan Pembangunan Manusia Luar Bandar (DHRRA) yang membantu menyelesaikan masalah keluarga tersebut.

Difahamkam ketiga-tiga remaja ini menerima surat pengesahan daripada KDN tentang permohonan kerakyatan yang diluluskan itu pada awal bulan ini dan akan memperolehi MyKad, hari ini.

Sementara itu, Kulasegaran berkata Hari Bertemu Pelanggan itu tidak terhad kepada bidang kuasa kementeriannya, di mana pihaknya melibatkan pelbagai agensi bagi membantu rakyat.

“Kita bukan hadkan kepada semua fungsi kementerian tapi merangkap semua walaupun bukan dalam bidang kuasa kementerian.

“Hajat saya mahu selesaikan masalah serta merta seboleh mungkin. Malah ada yang datang dari jauh seperti Pulau Pinang, Johor Bahru tapi sebenarnya tak perlu kerana ada cawangan di setiap negeri,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.