Polis panggil pakar sejarah bantu siasatan kes himpunan berkait PKM

Polis panggil pakar sejarah bantu siasatan kes himpunan berkait PKM

Beberapa pakar sejarah yang dihubungi pihak polis bersetuju bagi membantu siasatan.

Media melaporkan kira-kira 300 orang menghadiri perhimpunan dipercayai melibatkan bekas ahli PKM di Kajang awal bulan ini. (Gambar Facebook)
SHAH ALAM:
Bukit Aman akan mendapatkan pandangan daripada pakar sejarah bagi membantu siasatan ke atas satu majlis peringatan ulang tahun ke-30 Perjanjian Damai Hatyai, di Kajang awal bulan ini. lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed berkata, beberapa orang pakar sejarah yang dihubungi bersetuju untuk membantu siasatan.

“Pakar sejarah berkenaan bersetuju memberi penerangan dan kita akan rakam percakapan mereka,” katanya pada satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Selangor di sini, hari ini.

Huzir turut memaklumkan pihak polis telah mengenal pasti 9 persatuan yang terlibat dalam panganjuran majlis yang dihadiri bekas ahli Parti Komunis Malaya (PKM).

Ditanya tentang kewajaran melibatkan pakar sejarah dalam kes berkenaan, Huzir berkata, hanya ahli akademik boleh memberi input mengenai pertikaian mengenai parti yang telah diharamkan itu.

“Pakar sejarah boleh ceritakan tentang keganasan komunis, mengapa komunis buat macam itu, apakah yang berlaku.

“Pakar sejarah yang tahu, sebab itu kita lihat ada semacam pertikaian. Ada yang menyoal apakah komunis ini tidak bagus atau mereka ini kejam.

“Hanya pakar sejarah yang faham kerana mereka membuat kajian,” katanya.

Katanya, setakat ini 14 saksi telah diambil keterangan, manakala saksi lain telah dibuat temujanji untuk dirakamkan percakapan dalam masa terdekat.

Beliau berkata, 114 laporan polis telah diterima berhubung perhimpunan tersebut yang dilaporkan dihadiri kira-kira 300 orang yang dipercayai merupakan bekas ahli PKM.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.