
Pemandu berumur 34 tahun yang memandu untuk pasukan BRC Hyundai N Squadra Corse dalam jentera i30 N TCR itu mengambil alih takhta kedudukan pemandu kejohanan daripada rakan sepasukannya Gabriele Tarquini, dengan jumlah mata 370 mata.
“Hari yang memenatkan, kita ada 3 perlumbaan hari ini. Pada perlumbaan pertama saya berjaya menang, perasaan yang cukup menggembirakan,” katanya kepada pemberita selepas tamat Race 3 malam tadi.
“Perlumbaan Race 2 dan Race 3 amat amat sukar kerana keadaan cuaca yang berubah dengan pantas, menjadikan agak sukar untuk memutuskan tayar mana yang hendak digunakan. Akhirnya anda perlukan sedikit tuah.
“Saya gembira sedikit tuah menyebelahi saya, membantu saya dalam memenangi kejohanan ini. Secara keseluruhan ia adalah perlumbaan paling sukar sepanjang karier saya. Tapi akhirnya kesukaran ini membawa kejayaan,” tambahnya.
Bercakap mengenai pengalaman pertamanya berlumba di Sepang, Michelisz berkata ia amat sukar kerana keadaan cuaca amat sukar diramal.
Saingan hebat jelas berlaku antara Michelisz dengan pemandu dari Argentina Guerrieri dari pasukan ALL-INKL.COM Munnich Motorsport, sehinggalah jentera Guerrieri kehilangan kuasa, dipercayai berpunca daripada radiator tersumbat.
“Saya gembira berada di sini dalam kejohanan dunia dan bertarung untuk gelaran juara. Sudah tentu saya sedikit sedih, tapi ada ketika nanti dendam boleh dibalas,” kata Guerrieri yang menduduki tempat kedua dengan 349 mata.
Dalam Race 3, pelumba Sweden Johan Kristoffersson dari pasukan Sebastien Loeb Racing Volkswagen mempamerkan aksi hebat dari P22 di atas grid dengan catatan masa 39 minit 02.972 saat, iaitu 2.026 saat di hadapan Mikel Azcona daripada pasukan PWR Racing.
Kevin Ceccon daripada pasukan Mulsanne Srl menduduki tempat ketiga dengan catatan masa 39:05.154s.
Pemandu wildcard dari Malaysia Mitchell Cheah dan Hafizh Syahrin Abdullah daripada Hyundai Team Engstler masing-masing menamatkan perlumbaan di tempat ke 19 dan P16.