
Beliau memaklumkan dua pelumba berkenaan sudah menyatakan persetujuan untuk terus bersama Petronas Yamaha SRT pada musim hadapan, susulan prestasi membanggakan yang dicapai bersama pasukan berkenaan pada musim ini.
Razlan optimis dua pelumba berkenaan dapat meraih kedudukan podium pada saingan Grand Prix Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dari 1-3 Nov ini.
Beliau menegaskan sasaran utama pasukan berkenaan adalah mengekalkan kedudukan pendahulu kategori pengeluar bebas dan kategori pelumba bebas yang sedang dikuasai Quartararo, katanya pada sidang media mengenai taklimat aliran trafik dan penggunaan pengangkutan awam, sempena GP Malaysia di SIC hari ini.
Dalam perkembangan berasingan, beliau mendedahkan Adam Norrodin yang menggantikan Khairul Idham Pawi dalam saingan Moto2 pada musim ini, akan kembali bersaing dalam Kejuaraan Remaja di Sepanyol (CEV) pada musim hadapan bersama seorang lagi pelumba muda negara, Kasma Daniel Kasmayudin.
Khairul terpaksa berehat panjang selepas menjalani pembedahan di tangan kanannya di Sepanyol, Ogos lalu, susulan kecederaan yang dialaminya pada GP Sepanyol pada Mei lalu.
“Khairul akan turun ke kategori Moto3 pada musim hadapan, dan beliau akan menjalani sesi latihan pra-musim 2020 di Litar Jerez, Sepanyol, selepas berakhirnya pusingan terakhir MotoGP 2019 di Valencia pada pertengahan bulan hadapan,” jelas Razlan.
Beliau turut mendedahkan SIC sedang mengasah beberapa bakat berpotensi bagi diketengahkan ke dalam saingan MotoGP selewat-lewatnya pada 2021.