Ambil insurans jika melancong ke Thailand!

Ambil insurans jika melancong ke Thailand!

Thailand antara negara yang dikunjungi ramai pelancong pada sambutan Krismas dan tahun baru 2020.

Jika membuat tempahan penerbangan ke sesebuah destinasi, anda pasti diberi pilihan sama ada ingin mengambil insurans perjalanan mahupun tidak.

Ada yang menganggap ia tidak penting sekaligus tidak mengambil insurans tersebut bagi mengelakkan bayaran menjadi lebih mahal.

Namun harus diingat ia sebenarnya antara perkara terpenting yang harus anda ambil sebagai perlindungan kepada diri sendiri sekiranya sesuatu perkara buruk berlaku kepada anda.

Ia bukan kenyataan yang cuba menakutkan anda, tetapi sesiapa sahaja tidak boleh meramal apa yang berlaku walaupun lima minit ke hadapan.

Malah jika anda memilih Thailand sebagai destinasi pelancongan anda menjelang Krismas dan sambutan Tahun Baru, anda juga diingatkan untuk mengambil insurans perubatan.

Selain itu, anda diingatkan untuk menjaga barangan sendiri supaya tidak dicuri pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Kami nasihatkan rakyat Malaysia untuk lebih berhati-hati menjaga barangan peribadi terutamanya pasport.

“Dapatkan insurans perjalanan dan perubatan walaupun untuk tempoh percutian yang singkat ke Thailand. Mereka yang mempunyai keluarga besar boleh mengambil insurans berkelompok yang menawarkan perlindungan perubatan,” kata Duta Besar Malaysia ke Thailand, Jojie Samuel memetik laporan Bernama selepas menghadiri Perhimpunan Akhir Tahun di Kedutaan Malaysia di Thailand.

Menurut beliau, perkara ini tidak boleh diambil mudah kerana terdapat kes rakyat Malaysia yang dimasukkan ke hospital.

Jojie juga menggesa rakyat Malaysia terutamanya mereka yang memandu ke selatan Thailand supaya mengambil langkah berjaga-jaga dan mengelakkan memandu pada waktu malam.

Bagi mereka yang menyewa kereta untuk melakukan perjalanan ke Thailand, beliau berkata pemandu harus memastikan kenderaan itu diinsuranskan sepenuhnya.

Anda juga perlu menyimpa beberapa nombor penting dalam telefon pintar anda.

Jika perlukan bantuan, segera hubungi Hotline Polis Pelancongan Thailand di talian 1155 atau pergi ke Pusat Bantuan Pelancongan Thailand berhampiran.

Sekiranya berlaku kecemasan (selepas waktu pejabat) hubungi pegawai bertugas di kedutaan iaitu di talian: +668 7028 4659 dan alamat kedutaan adalah: 33-35 South Sathorn Road Tungmahamek, Sathorn Road, Bangkok.

Simpan segala maklumat ini untuk keselamatan anda!

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.