Akta cegah ubah wang mampu kurang aktiviti seludup hidupan liar, kata Perhilitan

Akta cegah ubah wang mampu kurang aktiviti seludup hidupan liar, kata Perhilitan

Pengarah perhilitan berkata, Amla digunakan terhadap 4 suspek dan keluarga mereka setakat ini.

Anggota Perhilitan melupuskan gading gajah bernilai RM13.26 juta daripada 15 rampasan di lapangan terbang dan pelabuhan Malaysia sejak 2011 hingga 2017. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) yakin ia di landasan betul bagi mengurangkan aktiviti penyeludupan dan pemburuan haram, walaupun belum ada suspek yang dihukum susulan operasi penguatkuasaan berterusan untuk melindungi hidupan liar di negara ini.

Lebih 60 penahanan dibuat dengan anggota badan haiwan seperti gading gajah, tanduk rusa dan berbagai jenis kulit dirampas dalam operasi bersama Perhilitan, polis dan agensi negeri serta persekutuan dan organisasi lain sejak September lalu.

Ketua Pengarah Perhilitan, Abdul Kadir Abu Hashim berkata 4 suspek ditahan bulan lalu di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (Amla) buat julung kali.

Jenayah hidupan liar di negara ini dimasukkan dalam undang-undang sejak 2014, di mana pihak berkuasa boleh merampas, membeku dan melucutkan harta penjenayah, selain mereka boleh didenda berjuta ringgit dan dipenjarakan sehingga 15 tahun.

Kadir berkata, 13 akaun bank milik 4 suspek dan keluarga mereka yang dilaporkan mengandungi kira-kira RM1.58 juta dibekukan, manakala 5 kenderaan – termasuk sebuah Mercedes-Benz, Volkswagen dan Honda – turut dirampas.

Beliau mendapati akta itu mampu mengurangkan penyeludupan hidupan liar, walaupun ia belum digunakan untuk menghukum penyeludup hidupan liar di Malaysia.

“Amla membolehkan kami menyekat aktiviti penjenayah secara menyeluruh kerana kami boleh membeku atau merampas wang serta aset mereka yang secara tidak langsung melumpuhkan mereka,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, Ops Bersepadu Khazanah akan diteruskan sepanjang tahun depan dengan sasaran melumpuhkan aktiviti pemburuan haram dan memusnahkan perangkap yang dipasang dalam hutan.

“Kami akan terus mengadakan Ops Bersepadu Khazanah sehingga kita boleh menghapuskan penyeludupan dan pemburuan haram hidupan liar di hutan kita.”

Sebuah agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu menganggap pemerdagangan haram hidupan liar sebagai perusahaan penyeludupan jenayah ke-4 paling lumayan, selepas penyeludupan dadah, senjata api dan manusia.

Ia menjana kira-kira AS$20 bilion setiap tahun dan Malaysia dianggap sebuah daripada hab global pemerdagangan hidupan liar.

Awal bulan ini, Rangkaian Pemantauan Perdagangan Hidupan Liar Global (TRAFFIC) dilaporkan berkata, 21 kes jenayah hidupan liar dibuka sejak Ops Bersepadu Khazanah dilancarkan 3 bulan lalu.

Dalam satu daripada kes terbesar bulan lalu, lebih 500 ekor kura-kura, kira-kira 100 ekor musang dan 26 ekor biawak sungai yang akan dihantar ke pasaran makanan eksotik di Vietnam, dirampas di Kelantan.

Pengarah TRAFFIC Asia Tenggara, Kanitha Krishnasamy berkata pendakwaan di bawah Amla akan membolehkan penyeludup tahu “jenayah hidupan liar ialah jenayah serius dan akibatnya teruk” kerana mereka meraih keuntungan besar dengan menggadaikan keselamatan negara dan sumber alam semulajadi.

“Jika kita tidak tunjukkannya dengan tindakan – siasat jejak individu dan wang – jenayah hidupan liar tidak akan diambil secara serius dan kita akan sentiasa kalah dalam perjuangan ini,” katanya kepada FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.