
Chow, yang juga ketua menteri Pulau Pinang berkata, negeri itu mengalami perkara serupa pada 2008 apabila pembangkang merampasnya daripada Barisan Nasional (BN) yang menyaksikan ia terus meraih kejayaan sepanjang 10 tahun lepas di bawah tunjuk ajar pemimpin yang baik.
Beliau berkata, Malaysia kini melalui tempoh “penstabilan” dan hanya selepas itu PH akan dapat menunaikan janjinya dengan lebih mudah.
“Saya tidak kata kita tidak stabil, tetapi kita dalam tempoh peralihan. Seperti diumumkan semalam, kerajaan PH telah menunaikan 60% janji pilihan rayanya. Kita menjangka akan dapat menunaikan bakinya dalam 2 tahun lagi.
“Kita tahu bahawa kita kini diuji tentang cara terbaik untuk mengurus kerajaan persekutuan yang berkesan dan membantu memperbaiki kehidupan rakyat. Pada masa sama, kita juga sibuk membetulkan salah urus dan kelemahan yang diwarisi daripada kerajaan lepas,” katanya kepada 376 perwakilan Konvensyen Tahunan DAP Pulau Pinang di Perai hari ini.
Chow yang juga merupakan naib presiden parti itu berkata, ahli DAP mesti mempertahankan dasar kerajaan dan memerangi salah maklumat yang memberikan gambaran negatif terhadap pencapaian PH.
Beliau berkata, dalam menyokong kerajaan, ahli DAP juga perlu terus bersuara bagi pihak rakyat dan jika perlu membuat bantahan dengan semangat yang sama sewaktu mereka menjadi pembangkang.
Chow berkata, ahli parti perlu membangkitkan isu hanya dalam mesyuarat dan konvensyen, selain memberikan maklumat tepat kepada rakyat.
“Mesejnya ialah: Percayai DAP di Pulau Pinang dan DAP di Malaysia.
“Kita akan buktikan bahawa PH adalah kerajaan yang mampu membawa harapan baru kepada Malaysia selepas puluhan tahun diperintah oleh BN, yang meninggalkan kepada kita bagasi dan legasi yng buruk.
“Kita perlu yakinkan akar umbi supaya berdepan dengan kritik dan semua bentuk komen, masalah dan aduan kerana ia merupakan satu bentuk maklum balas penting tentang pandangan masyarakat berhubung perkembangan yang berlaku.
“Bercakap benar, beritahu mereka pencapaian kita, hapuskan persepsi buruk terhadap parti dan kerajaan,” katanya.
Chow juga berkata, susulan kelulusan penuh Pelan Induk Pengakutan Pulau Pinang (PTMP) dan berkemungkinan besar dimulakan tahun depan, akan wujud “suara alternatif” daripada NGO dan komuniti yang terkesan oleh projek berkenaan.
“Tetapi seperti saya katakan sebelum ini, ahli parti mesti berani berdepan cabaran dan berikan maklumat kepada orang ramai tentang objektif sebenar projek tersebut,” katanya.