Bateri basah bertahan 2 tahun, apa perlu buat?

Bateri basah bertahan 2 tahun, apa perlu buat?

Terdapat beberapa perkara yang perlu dilakukan supaya bateri basah kereta bertahan sekurang-kurangnya dua tahun.

Ada yang merasakan penggunaan bateri basah perkara rumit.

Namun ia tidak menjadi masalah kepada mereka yang sentiasa memberi perhatian kepada kereta.

Ini kerana secara asasnya bateri basah perlu diperiksa secara berkala sekurang-kurangnya sebulan sekali untuk memastikan komponen itu berada dalam keadaan baik.

Selain itu ia juga bagi memastikan ia mampu beroperasi pada tahap maksimum.

Pemeriksaan seperti ini membantu mengenal pasti sama ada terdapat kerosakan atau keretakan pada kotak atau bekas bateri yang biasanya berwarna putih.

Habuk biasanya terkumpul dalam ruangan enjin dan anda digalakkan untuk membersihkan lapisan habuk, dan kotoran pada permukaan bateri, termasuk kedua-dua terminal positif dan negatif.

Lakukan ini ketika enjin dimatikan dan gunakan kain kering untuk mengelap bateri.

Terminal bateri juga boleh berkarat dan jika ini berlaku, anda boleh gunakan kertas pasir untuk gosok dan bersihkan.

Selepas itu, gunakan sedikit gris untuk disapukan pada permukaan terminal.

Perkara lain yang anda boleh lakukan adalah :

1. Periksa paras kandungan air.

Anda perlu memeriksa kandungan air dalam bateri sama ada cukup atau berada di bawah garisan minimum. Jika kurang, anda perlu menambahkan air bateri dan pastikan tidak melebihi paras maksimum.

Ia penting bagi membenarkan bendalir itu memainkan peranan menyimpan bekalan elektrik dalam bateri. Sekiranya air bateri berada bawah garisan minimum, keupayaan bateri basah untuk menyimpan tenaga elektrik juga akan menurun secara automatik.

2. Panaskan enjin 10 minit

Anda boleh memanaskan enjin kira-kira 10 minit untuk membantu arus elektrik dalam bateri diperbaharui semula menerusi bantuan alternator. Langkah itu juga untuk arus elektrik bateri kekal stabil dan berada pada tahap maksimum.

3. Padam semua perkakasan elektronik

Anda perlu memadamkan semua perkakasan elektronik dalam kereta seperti sistem audio, penyaman udara, pemanas cermin dan lampu, termasuk mencabut soket pengecas yang disambung pada kereta sebelum enjin dimatikan.

Ini akan membantu memastikan arus elektrik dalam bateri dapat disalurkan terus ketika menghidupkan enjin.

Jika anda bijak dalam menyelenggara bateri basah, ia mampu bertahan sekurang-kurangnya dua tahun.

Ini lebih menjimatkan berbanding bateri kering yang mempunyai purata jangka hayat kira-kira setahun.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.