Kes Cradle Fund: Pegawai bomba terfikir kebakaran akibat perbuatan khianat

Kes Cradle Fund: Pegawai bomba terfikir kebakaran akibat perbuatan khianat

Abdul Halim yang juga saksi pendakwaan ke-15 berkata, beliau tidak merekodkan perkara itu kerana tidak mengetahui siapakah pelakunya.

Pegawai penyiasat Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Abdul Halim Zulkefeli. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Pegawai penyiasat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau ada terfikir kebakaran di bilik tidur ketua pegawai eksekutif (CEO) Cradle Fund, Nazrin Hassan, berpunca akibat perbuatan khianat.

Abdul Halim Zulkefeli yang juga saksi pendakwaan ke-15 berkata, perkara tersebut disedarinya semasa “memulangkan semula” bilik berkenaan kepada isteri Nazrin, Samirah Muzaffar, 44, selepas selesai melakukan siasatan.

Bagaimanapun katanya, beliau tidak merekodkan mengenai perkara tersebut pada mana-mana laporan yang dibuat olehnya pada hari kejadian kerana tidak mengetahui siapa pelakunya.

Ketika disoal balas oleh peguam Samirah, Muhammad Shafee Abdullah di hadapan hakim Ab Karim Ab Rahman, bila beliau “memulangkan semula” bilik berkenaan kepada wanita itu, Abdul Halim memberitahu ia dilakukan pada hari kejadian, iaitu 14 Jun 2018 sekitar 4 petang.

Bagaimanapun Shafee mempersoal tindakan pegawai bomba itu “memulangkan semula” bilik tersebut kepada pemilik rumah sedangkan beliau mengesyaki berlakunya jenayah khianat dan bunuh.

Shafee: Kalau pada 14 haribulan (Jun 2018), Encik Halim terfikir ini (kebakaran di bilik Nazrin) adalah kes jenayah khianat dan bunuh, mengapa Encik Halim pulangkan balik bilik itu kepada tuan punya (rumah)?

Abdul Halim: Sebab saya sudah jalankan penyiasatan saya mengenai kebakaran. Benda-benda utama saya sudah ambil.

Shafee: Encik Halim beritahu Samirah boleh ambil bilik dan kata semua sudah selesai. Kalau beliau mahu bersihkan bilik pun boleh?

Abdul Halim: Untuk ‘part’ bomba, benar.

Shafee: Ada Encik Halim beritahu polis yang wujudnya unsur jenayah?

Abdul Halim: Saya ada beritahu polis, iaitu Sarjan Rahim untuk tindakan selanjutnya.

Shafee: Ada polis beritahu jangan serahkan dulu bilik itu kepada tuan punya?

Abdul Halim: Saya tidak dengar.

Shafee: Kalau ada unsur jenayah di bilik (yang terbakar) itu, bukan kuasa Encik Halim untuk serah semula bilik berkenaan dan bilik itu (perlu) diserahkan kepada polis. Masa itu, Encik Halim ada syak Samirah?

Abdul Halim: Tidak.

Shafee: Namun tiada tanda pecah masuk (di bilik berkenaan). Ada Encik Halim syak wujudnya unsur dalaman?

Abdul Halim: Kemungkinan ada.

Shafee: Encik Halim bagi semula bilik kepada Samirah untuk kemas dan kemudian Encik Halim datang semula (selepas hari kejadian) untuk siasat lagi. Boleh saya kata ia sebagai tindakan ‘tidak bijak’?

Abdul Halim: Tidak setuju.

Dalam pada itu, Shafee turut mempersoal tindakan Abdul Halim yang tidak mengambil sampel lantai jenis parket untuk siasatan sedangkan pegawai bomba itu sebelum ini pernah mengatakan terdapat simbahan petrol pada bahagian kepala katil di dalam bilik tersebut.

Ini kerana kata Shafee, sekiranya wujud simbahan petrol seperti dinyatakan Abdul Halim, pastinya ada sisa bahan bakar itu di celah-celah lantai bilik yang ia sepatutnya turut termasuk dalam lingkungan siasatan pihak bomba.

Bagaimanapun, Abdul Halim menjelaskan beliau tidak mengambil sampel lantai berkenaan kerana sampel tempat terbakar sudah memadai untuk dijalankan siasatan punca insiden itu berlaku.

Pada 12 Mac, Samirah, bekas eksekutif kanan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia dan 2 remaja lelaki masing-masing berumur 17 serta 14 tahun didakwa bersama-sama seorang warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari yang masih bebas, membunuh Nazrin.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Mutiara Homes, Mutiara Damansara, antara 11.30 malam 13 Jun 2018 dan 4 pagi 14 Jun 2018.

Tuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta sama, memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

Perbicaraan bersambung Isnin depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.