
Beliau berkata, pihaknya mengenal pasti 4 individu yang memberi ucapan dalam majlis berkenaan, iaitu Adun Sungai Pelek, Ronnie Liu, editor Persatuan Persahabatan Abad ke-21, wakil Parti Komunis Malaya (PKM) dan wakil Persatuan Kawan Karib Sarawak.
“Setakat ini, 6 saksi telah diambil keterangan manakala saksi lain akan diambil keterangan berdasarkan temujanji yang ditetapkan.
“Sehingga kini, polis menerima 72 laporan berkait isu sama. Selain itu, siasatan masih dijalankan dan beberapa tindakan akan diambil, termasuk mendapatkan keterangan daripada pakar sejarah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Huzir berkata, polis akan mendapatkan laporan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) untuk membantu siasatan.
Katanya, kertas siasatan itu akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara bersama cadangan berdasarkan dapatan hasil siasatan.
“Siasatan diklasifikasikan di bawah Seksyen 505 (C) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.”
Pada 1 Dis lepas, sebuah portal berita melaporkan kira-kira 300 orang menghadiri perjumpaan dan perhimpunan yang dipercayai melibatkan bekas anggota PKM di Kajang.
Perjumpaan itu difahamkan sebagai memperingati ulang tahun ke-30 Perjanjian Damai Hatyai yang ditandatangani kerajaan Malaysia dan PKM pada 2 Dis 1989.
Abu mayat Chin Peng
Huzir berkata, sebanyak 10 saksi sudah diambil keterangan berhubung kes abu mayat bekas pemimpin PKM, Chin Peng dibawa masuk ke negara ini.
“Mereka antaranya terdiri daripada pihak pengadu, editor MalaysiaKini, wartawan, pembawa abu mayat dan juga individu yang terlibat dalam upacara yang dijalankan.
“Siasatan masih dibuat dan beberapa tindakan akan diambil, termasuk mendapatkan keterangan pakar sejarah.”
Katanya, polis akan mendapatkan laporan daripada SKMM, Jabatan Imigresen, JPPM, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi membantu siasatan kes itu.
Sehingga kini, 11 laporan polis diterima berhubung isu itu dan kertas siasatan akan dirujuk ke Jabatan Peguam Negara bersama beberapa cadangan berdasarkan dapatan hasil siasatan.
“Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 504 dan 505(C) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.
Pada 26 Nov lepas, media melaporkan abu mayat Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua dibawa pulang ke Malaysia dan ditabur ke laut berhampiran Lumut, Perak serta di hutan banjaran Titiwangsa tanpa sebarang tugu atau jirat.
Abu mayat itu dilaporkan tiba di Ipoh, Perak pada 16 Sept lepas dan satu majlis peringatan dihadiri 150 individu diadakan pada hari sama.
Chin Peng meninggal dunia di sebuah hospital di Bangkok pada 2013 ketika berusia 89 tahun.