Keputusan rayuan kes Adun Pujut ditetapkan kemudian

Keputusan rayuan kes Adun Pujut ditetapkan kemudian

Panel hakim menetapkan untuk menyampaikan keputusan pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Adun Pujut, Ting Tiong Choon. (Gambar Facebook)
PUTRAJAYA:
Panel 9 hakim Mahkamah Persekutuan menetapkan untuk menyampaikan keputusan pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian berhubung rayuan Dewan Undangan Negeri Sarawak dan 2 lagi mengenai pemecatan Adun Pujut, Ting Tiong Choon kerana mempunyai 2 kewarganegaraan.

Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel itu memutuskan demikian selepas mendengar hujahan daripada pihak-pihak dalam rayuan itu.

DUN Sarawak, Speaker DUN Sarawak, Mohd Asfia Awang Nassar dan Menteri Kewangan II Sarawak, Wong Soon Koh merayu berhubung keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan yang membatalkan keputusan DUN Sarawak untuk melucutkan kelayakan Ting.

Panel turut dianggotai Presiden Mahkamah Rayuan, Rohana Yusuf; Hakim Besar Sabah dan Sarawak, David Wong Dah Wah; dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Mohd Zawawi Salleh, Nallini Pathmanathan, Ong Lam Kiat, Abdul Rahman Sebli, Zabariah Mohd Yusof dan Hasnah Mohammed Hashim.

Terdahulu, peguam Cecil Abraham yang mewakili speaker DUN berhujah Ting tidak boleh berada dalam DUN walaupun dia melepaskan kewarganegaraannya di Australia.

Beliau berkata tindakan Ting melepaskan kewarganegaraan Australia itu tidak mempunyai keputusan sah bagi membolehkan beliau layak untuk bertanding sebagai calon pilihan raya.

Abraham berkata Ting mengambil kerakyatan Australia dan kemudian melepaskannya, bukanlah perbuatan yang dapat ditebus.

“Pelucutan kelayakan mestilah didahului oleh kelayakan. Seseorang mesti layak terlebih dahulu sebelum kelayakannya dibatalkan. Jika seseorang itu telah dibatalkan, apakah lagi yang perlu dibatalkan?” kata Abraham ketika memetik penghakiman hakim Mahkamah Rayuan ketika itu, Abang Iskandar Abang Hashim.

Bawah Artikel 17 (1)(g) Perlembagaan Sarawak, seseorang itu akan hilang kelayakan jika beliau secara sukarela memperoleh kewarganegaraan lain.

Peguam Besar Sarawak Talat Mahmood Abdul Rashid yang mewakili DUN berhujah ketika usul untuk melucutkan kelayakan Ting dibangkitkan, keputusan itu dibuat semasa sidang DUN dan oleh itu ia pertikaian yang tidak boleh diadili.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.