
Adun Hutan Melintang, Khairuddin Tarmizi, salah seorang ahli lembaga pemegang amanah yayasan itu berkata, beliau bertemu seorang peguam bernama Murali di sebuah restoran mamak pada 20 Apr 2017 di mana seorang peguam memberikan SD itu kepadanya, yang disediakan terlebih dahulu.
Beliau juga membacakan kandungan SD kepada mahkamah, mengatakan Zahid memberinya bil pada 2014 dan 2015 untuk diselesaikan.
“Sebelum ini saya berpandangan saya boleh guna wang di yayasan itu untuk selesaikan bil-bil Datuk Seri (Zahid) kerana sebahagian besar dana ke yayasan itu disumbangkan olehnya.
“Sekarang saya sedar pandangan itu tidak betul, dan saya minta beliau membayar balik wang itu, atau RM805,768.16, yang digunakan untuk selesaikan bil-bil itu, dan beliau sudah bayar balik kepada yayasan,” katanya dalam dokumen itu.
Beliau memberitahu mahkamah apa yang dia faham daripada 2 perenggan dalam SD itu adalah Zahid boleh menggunakan wang yayasan untuk bayar bil, dan beliau meminta Zahid membayar balik jumlah berkenaan.
“Saya menandatangani SD secara suka rela selepas Murali menjelaskan kandungannya kepada saya, dan saya difahamkan wang itu sudah dibayar balik kepada yayasan,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Raja Rozela Raja Toran kemudian memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan berhasrat untuk menggunakan Seksyen 132 Akta Keterangan, di mana Khairuddin perlu menjawab soalan tetapi jawapannya tidak akan digunakan terhadapnya.
Hakim Collin Lawrence Sequerah kemudian meminta Khairuddin menjawab soalan itu, dan menambah jawapannya tidak akan digunakan terhadapnya.
Khairuddin berkata beliau tidak minta Zahid menyerahkan wang kepada yayasan itu walaupun itu yang dinyatakan dalam SD.
“Tidak benar,” katanya ketika disoal Raja Rozela mengenai kesahihan dokumen itu.
Ketika ditanya peguam Zahid, Ahmad Zaidi Zainal adakah nasihat yang dikatakan diberikan kepadanya oleh Murali itu tidak tepat dari segi kandungan, beliau bersetuju.
Beliau juga berkata beliau tidak mendapatkan pandangan kedua sebelum menandatangani SD itu.
Beliau berkata kebanyakan wang itu disumbangkan oleh Zahid, dan bekas menteri itu, bersama keluarganya, pemilik Yayasan Akalbudi.
“Beliau akan berbincang dengan ahli keluarganya sebelum buat sebarang sumbangan kepada mana-mana kumpulan atau untuk tujuan keagamaan,” katanya.
Ditanya tentang kefahamannya mengenai “sumbangan politik” dan adakah beliau tahu tentang orang lain yang pernah menyumbang kepada yayasan itu, Khairuddin berkata beliau tahu sumbangan seperti itu untuk membantu golongan miskin.
Beliau bagaimanapun tidak tahu tentang penyumbang lain.
Beliau tahu Yayasan Akalbudi membuat pelbagai sumbangan kepada masjid, sekolah agama, dewan masyarakat, rumah anak yatim dan komuniti miskin di Bagan Datuk dan kawasan-kawasan lain di dalam dan luar negara.
Tetapi apabila ditanya Timbalan Pendakwa Raya Lee Keng Faat tentang jumlahnya, beliau tidak dapat beri angka yang tepat.
Zahid berdepan 47 tuduhan pecah amanah melibatkan dana Yayasan Akalbudi, pengubahan wang serta menerima suapan untuk pelbagai projek semasa menjadi menteri dalam negeri.