
Ia berkata, pendapatan bagi semua kumpulan umur tumbuh lebih cepat daripada inflasi, tetapi pertumbuhan perolehan pekerjaan bagi pekerja muda, terutama lelaki, kekal perlahan berbanding pekerja lebih tua.
Sebagai contoh, pendapatan pekerjaan median dalam kalangan lelaki berumur 20 hingga 29 tahun pada 2004 adalah 70% berbanding pekerja berumur 40 hingga 49 tahun, dan pada 2016 nisbah itu merosot kepada 58%, katanya dalam laporan Malaysia Economic Monitor.
Laporan itu berkata, hubungan antara kumpulan umur dengan pendapatan pekerjaan median adalah lebih lemah bagi wanita, yang membayangkan kenapa wanita berumur lebih 30 tahun berkemungkinan besar bekerja secara sambilan bagi mengimbangkan komitmen keluarga dan kerja.
Dalam satu kenyataan, Bank Dunia berkata, pertumbuhan pendapatan lebih perlahan dalam kalangan isi rumah berpendapatan rendah dan pekerja muda mewujudkan persepsi bahawa mereka “ditinggalkan”.
Ia berkata, walaupun pendapatan median terus mengatasi inflasi, namun pertumbuhan pendapatan bagi rakyat Malaysia berpendapatan rendah perlahan antara 2014 dan 2016.
“Pertumbuhan upah bagi pekerja muda dan kurang berpendidikan adalah perlahan dan kekal di belakang pendapatan pekerja lebih tua dan lebih berpendidikan,” katanya.
Laporan itu menyebut, pendapatan pekerjaan median bagi pekerja muda berumur antara 20 dan 29 tahun tumbuh pada kadar tahunan 2.4% berbanding 3.9% bagi pekerja berumur antara 40 dan 49 tahun dalam tempoh yang sama.
Katanya, peluasan jurang perolehan bulanan antara 2 kumpulan umur ini adalah besar, iaitu bertambah lebih 2 kali ganda daripada RM529 pada 2004 kepada RM1,197 pada 2016.
Ia menunjukkan jurang upah yang membesar dan kelembapan upah bagi pekerja muda, katanya.
Laporan itu juga mengetengahkan isu kepelbagaian kuasa beli di kawasan berbeza di seluruh negara, perancangan kewangan yang lemah, hutang isi rumah dan perumahan tidak mampu milik serta faktor penting lain yang memberi kesan ke atas kos hidup.
Kos hidup yang beza-beza
Laporan itu berkata, kos hidup di Malaysia berbeza-beza di seluruh negara dan pada 2019 mungkin mencecah angka 70%.
Ia berkata, Pendapatan Garis Kemiskinan paling rendah ialah di Kelantan dan paling tinggi di Kuala Lumpur dan Putrajaya.
“Seperti dijangka, kos di negeri lebih maju dan di wilayah persekutuan adalah lebih tinggi berbanding negeri lebih mundur,” katanya, dengan menambah bahawa paras harga adalah lebih rendah di negeri di bahagian utara semenanjung Malaysia.