Bank Dunia puji langkah Malaysia berhubung sijil halal, mekanisme harga telur

Bank Dunia puji langkah Malaysia berhubung sijil halal, mekanisme harga telur

Ketua ahli ekonomi Bank Dunia bagi Malaysia berkata, langkah-langkah diambil positif bagi dagangan serantau dan global.

tulul
Penamatan kawalan harga telur secara berperingkat selaras dengan langkah-langkah melaksana atau menarik balik kawalan harga pada musim perayaan sebelum ini, kata Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia bagi Malaysia Apurva Sanghi.
PETALING JAYA:
Bank Dunia menyifatkan langkah Malaysia memeterai perjanjian pensijilan halal dengan Indonesia serta pemansuhan kawalan harga telur secara berperingkat sebagai positif dalam landskap ekonomi negara.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia bagi Malaysia Apurva Sanghi berkata, tindakan mengurangkan halangan birokrasi dalam pensijilan halal akan meningkatkan lagi perdagangan halal antara Malaysia dan Indonesia.

Beliau turut memuji tindakan Malaysia memperkenalkan pelesenan digital bagi pengangkutan kereta api antara Malaysia dan Thailand yang dilihat sebagai langkah positif bagi perdagangan serantau.

“Ini menunjukkan halangan bukan tarif dalam Asean ini masih boleh diatasi,” kata Apurva di platform media sosial, lapor Bernama.

Apurva turut menyebut penamatan kawalan harga telur secara berperingkat, yang menurutnya selaras dengan langkah-langkah melaksana atau menarik balik kawalan harga pada musim perayaan.

“Ini seperti kawalan harga ke atas (ikan) bawal putih dan bawang putih Cina yang diimport ketika Tahun Baharu Cina dan daging kerbau serta ikan tenggiri yang diimport ketika Aidilfitri,” katanya.

Mengulas pengukuhan eksport, nilai ringgit dan petunjuk ekonomi lain yang positif, Apurva bagaimanapun mengingatkan mengenai impak memberi tafsiran keterlaluan terhadap aliran berkenaan.

“Lonjakan eksport semasa itu sebahagian besarnya disebabkan oleh tindakan penghantaran barangan lebih awal menjelang ketidaktentuan perdagangan global dan berkemungkinan besar bukan bersifat mampan,” katanya.

“Begitu juga pengukuhan ringgit hanya memaparkan kelemahan dolar AS berbanding lonjakan sebenar kekukuhan nilai ringgit. Pasaran pertukaran asing kekal terlalu goyah untuk membolehkan satu rumusan kukuh dapat dibuat.”

Selain itu, Apurva menyambut baik langkah kolektif syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) melaksanakan gaji kehidupan wajar yang dijangka memberi manfaat kepada pekerja berpendapatan rendah.

Namun, pada masa sama, beliau mengingatkan bahawa dasar itu perlu disokong oleh peningkatan daya pengeluaran bagi memastikan kemampanannya.

“Masih perlu dilihat sama ada inisiatif ini akan mempengaruhi majikan lain, terutamanya dalam sektor swasta formal dengan kira-kira dua juta pekerja masih berpendapatan bawah paras gaji kehidupan wajar,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.