
Laporan Malaysia Economic Monitor 2019 bertajuk “Making Ends Meet” menyebut, 27% isirumah di Kuala Lumpur memperoleh pendapatan lebih rendah daripada upah hidup layak yang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).
Pada 2016, BNM menganggarkan upah hidup layak di Kuala Lumpur adalah sebanyak RM2,700 bagi dewasa bujang, RM4,500 bagi pasangan tanpa anak dan RM6,500 bagi pasangan dengan 2 anak.
“Wujud korelasi rapat antara tahap pendidikan dengan isi rumah yang memperoleh pendapatan di bawah kadar upah hidup layak,” kata laporan itu.
“Dapatan BNM menunjukkan 73% yang memperoleh pendapatan di bawah upah hidup layak mempunyai sama ada pendidikan menengah, rendah atau tiada pendidikan.”
Bagaimanapun katanya, isi rumah tersebut juga cenderung untuk mengambil pinjaman peribadi bagi membolehkan mereka mengekalkan “pilihan gaya hidup”.
“Ia meningkatkan standard kehidupan melebihi perkara asas yang diperlukan untuk kelangsungan hidup,” katanya dengan memberikan contoh penyertaan dalam aktiviti dan acara sosial yang bermakna seperti sambutan perayaan.
Ini mengakibatkan bertambahnya insiden kebangkrapan susulan amalan meminjam untuk penggunaan, bukan pengumpulan kekayaan, katanya.
Ia juga menyebut kritikan terhadap golongan muda kerana “hidup di luar kemampuan” susulan “amalan membeli mengikut perasaan, akses mudah kepada pinjaman peribadi dan pembiayaan kad kredit, keinginan terhadap kepuasan segera dan pembelian atas talian yang luas.”
“Kira-kira 40% generasi muda mengaku berbelanja melebihi kemampuan, sementara 70% berasa tidak berpuas hati terhadap pendapatan semasa mereka,” katanya.
Ia juga melaporkan lebih ramai individu memilih untuk menggunakan kad kredit yang membenarkan baki tertunggak lebih lama, dan sekali gus mengakibatkan pertambahan hutang yang lebih cepat.
Menurut laporan itu lagi, kegagalan membayar hutang kenderaan dan pinjaman peribadi mewakili hampir separuh daripada kes kebangkrapan (49% pada 2018), sementara jumlah peminjam bankrap sama ada kerana pinjaman peribadi atau kad kredit meningkat sejak 2013.
Pada tahun lepas sahaja, jumlah kes kebangkrapan melibatkan pinjaman peribadi dan kad kredit masing-masing meningkat 104% dan 43% berbanding angka 2012.
Laporan itu juga menyebut tentang kebimbangan berhubung insiden kebangkrapan dalam kalangan individu berumur antara 25 ke 34 tahun, dengan berkata, 60% daripada peminjam bangkrap adalah daripada kelompok umur tersebut.
Golongan muda yang berbelanja melebihi kemampuan boleh memberi kesan buruk dan berpanjangan sekiranya mereka terus gagal memperoleh pengetahuan kewangan dan kemahiran mengurus wang,” katanya.