Arab Saudi henti asingkan lelaki dan wanita di restoran

Arab Saudi henti asingkan lelaki dan wanita di restoran

Lelaki dan perempuan yang tiada hubungan mahram dilarang bercampur di tempat awam di bawah peraturan sosial ketat selama beberapa dekad.

Kelihatan pelanggan wanita duduk dalam kalangan pelanggan lelaki di kafe yang baru dibuka di Khobar, Arab Saudi pada 2 Ogos 2019. (Gambar Reuters)
RIYADH:
Restoran di Arab Saudi tidak lagi mengenakan pengasingan gender, kata pihak berkuasa pada Ahad, sebahagian peraturan sosial ketat di negara itu yang kini melalui pembaharuan.

Sebelum ini, Arab Saudi meminta semua restoran hanya mempunyai satu pintu untuk pelanggan bersama ahli keluarga dan wanita, manakala pelanggan lelaki mempunyai pintu lain.

Kementerian Perbandaran dan Hal Ehwal Luar Bandar mengumumkannya di Twitter bahawa ia tidak lagi menjadi peraturan mandatori.

Lelaki dan perempuan yang tiada hubungan mahram dilarang bercampur di tempat awam di bawah peraturan sosial ketat selama beberapa dekad yang dikuatkuasakan ulama pelampau dan pihak berkuasa agama.

Namun, Putera Mahkota Mohammed bin Salman membawa pembaharuan – sebahagiannya dikritik – serta menghapuskan larangan lain, termasuk larangan pemandu wanita dan hiburan secara terbuka.

Pengasingan itu dilaksanakan secara perlahan-lahan beberapa tahun kebelakangan ini di restoran, kafe, pusat persidangan dan dewan konsert dengan menghentikan penguatkuasaannya dengan tegas.

Jurucakap kementerian yang dihubungi Reuters tidak memperincikan sama ada tempat duduk berasingan di dalam restoran juga akan dihapuskan. Peraturan baru itu tidak wajib, bermakna restoran masih boleh mengekalkan pintu masuk yang berasingan jika pemilik memilih berbuat demikian, katanya.

Tidak ada pengumuman perubahan terhadap pertubuhan awam yang lain, seperti sekolah dan hospital, yang kelihatannya masih berasingan sehingga kini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.