Kerajaan jimat RM10 bilion laksana subsidi petrol bersasar, Mujahid beritahu konvensyen Amanah

Kerajaan jimat RM10 bilion laksana subsidi petrol bersasar, Mujahid beritahu konvensyen Amanah

Semalam, perwakilan Amanah Pahang, Mohd Fadzil Mohd Ramly membidas 'perubahan tidak perlu', termasuk skim subsidi petrol dengan berkata, ia menimbulkan kemarahan rakyat.

Naib presiden Amanah Mujahid Yusof Rawa berkata, subsidi petrol bersasar merupakan salah satu janji PH.
SHAH ALAM:
Naib presiden Amanah dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa hari ini mempertahankan program subsidi petrol bersasar bermula tahun depan selepas ia dikritik oleh seorang perwakilan dari Pahang semalam.

“Dia kata program subsidi petrol satu masalah. Dalam manifesto (PH), salah satu subsidi yang nak kita perkenalkan ialah subsidi bersasar. Bersasar, itu ialah janji kita.”

Katanya, kerajaan akan menjimatkan hampir RM10 bilion dengan melaksanakan subsidi bersasar.

“Kalau kita pakai subsidi untuk semua, kita akan rugi duit.”

Mujahid berkata, skim subsidi bersasar akan memberi manfaat kepada 8 juta rakyat, dan 5 juta daripadanya merupakan kelas menengah (M40).

“Bagaimana anda kata kita tidak membela kepentingan M40 ini?” katanya dalam ucapan penggulungan beliau pada hari terakhir Konvensyen Nasional Amanah 2019 di sini.

Beliau juga menyenaraikan dasar kerajaan yang menyasarkan golongan M40, seperti pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk rawatan kesuburan in-vitro dan rebat cukai pendapatan untuk rawatan penyakit serius.

“Jadi saya minta (perwakilan Pahang) tarik balik komen kerana kita perlu pertahankan bajet di bawah kerajaan Pakatan Harapan.”

Semalam, perwakilan Amanah Pahang, Mohd Fadzil Mohd Ramly membidas “perubahan tidak perlu”, termasuk skim subsidi petrol yang dilaksanakan oleh kerajaan PH dengan berkata, ia menimbulkan kemarahan rakyat.

Fadzil menggesa kerajaan PH menangguhkan rancangan untuk menaikkan harga petrol kerana ia akan menimbulkan rasa tidak puas hati masyarakat, terutama golongan kelas menengah.

Dalam pada itu, perwakilan Pulau Pinang, Mohd Saifullah Abd Nasir juga mengkritik strategi media yang diamalkan oleh kerajaan PH.

Beliau mempersoalkan kenapa pembangkang diberikan platform yang luas di rangkaian penyiaran utama negara seperti TV3.

Mujahid juga menolak anggapan itu dengan berkata, kurangnya kebebasan media merupakan salah satu punca rasa tidak puas hati rakyat terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

“Jadi sekarang kita menjadi kerajaan, tiba-tiba tuan-tuan suruh kita jadi macam kerajaan dulu (BN)?,” soal beliau kepada perwakilan.

Beliau berkata, PH perlu konsisten dalam perjuangannya dan tidak harus melanggar nilai yang dipegangnya sebelum ini.

“Ya, kita mahu kebebasan media. Tetapi kebebasan yang kita mahu ialah kebebasan dengan tanggungjawab.

“Bagaimana kita nak bertanggungjawab kalau kita sekat orang daripada bercakap?”

Justeru katanya, kerajaan memilih untuk “bersaing secara sihat” dalam landskap media dengan memberikan maklumat dengan naratif sendiri.

“Lepas itu, rakyat boleh membuat pilihan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.