
Che Zam Hamzah dalam ucapannya berkata, beliau mahu mencadangkan agar anggota parti yang meninggalkan dewan persidangan dirujuk kepada lembaga disiplin parti.
Cadangan itu dikemukakan kepada pengerusi tetap kongres yang juga pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Ahmad Kassim.
“Pemimpin yang tak ada dalam dewan cukup-cukuplah (membuat kecoh).
“Saya mahu usulkan mereka dibawa ke lembaga disiplin,” katanya dalam ucapan perbahasan perwakilan pada Kongres PKR di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MiTC) di sini.
“Pecat, pecat, pecat,” sorak perwakilan lain menyambut ucapan Che Zam.
Ahmad bagaimanapun berkata, mesej itu “telah sampai” dan meminta Che Zam menghabiskan ucapan perbahasannya tanpa memberi respons kepada “usul” tersebut.
Che Zam berkata, perbezaan pendapat boleh wujud dalam PKR, tetapi tidak harus ada “jalan pintu belakang” bagi menghalang presiden parti itu, Anwar Ibrahim daripada menjadi perdana menteri ke-8.
“Cukup-cukuplah penghinaan kepada Anwar dan Dr Wan Azizah Wan Ismail,” katanya.
Sebelum itu, Azmin dan sekutu beliau enggan berada di dewan persidangan kongres kerana mendakwa Anwar gagal memenuhi janji bagi memastikan pembahas patuh kepada garis panduan ucapan yang dipersetujui sebelum itu.
Pada satu sidang media berasingan hari ini, Azmin bersama-sama sekumpulan pemimpin dan wakil rakyat PKR berkata, Majlis Pimpinan Pusat parti itu minggu lepas telah mencapai beberapa persetujuan berhubung garis panduan perbahasan.
Antaranya kata beliau, perbahasan hanya akan tertumpu kepada isu-isu dasar serta usaha pengukuhan PKR dan tidak dibenarkan menyinggung, menyindir atau menyerang mana-mana pihak.
Komposisi pembahas juga harus mewakili semua pihak dengan jaminan mereka hanya membawa agenda parti.
Turut hadir pada sidang media itu ialah naib presiden Zuraida Kamaruddin, Tian Chua dan Ali Biju; ketua Wanita Haniza Talha dan timbalannya, Daroyah Alwi serta timbalan ketua Pemuda, Hilman Idham.