Gesaan tukar Gobind perkara biasa, tidak keras, kata Amanah

Gesaan tukar Gobind perkara biasa, tidak keras, kata Amanah

Perwakilan Amanah Sarawak Andri Zulkarnaen mendesak kerajaan menukarkan Gobind Singh Deo yang didakwa gagal mempromosi kejayaan PH.

Presiden Amanah Mohamad Sabu bercakap pada sidang media sempena Konvensyen Nasional parti itu di Shah Alam, hari ini.
SHAH ALAM:
Presiden Amanah Mohamad Sabu menyifatkan desakan perwakilan parti itu supaya Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo ditukarkan ialah perkara biasa dan tidak terlalu keras.

“Tapi bagi saya itu biasa, itu lembut. Kami dulu di bawah lagi keras,” katanya pada sidang media sempena Konvensyen Nasional parti itu di Pusat Konvensyen Darul Ehsan (IDCC) di sini, hari ini.

Mohamad berkata demikian ketika diminta mengulas ucapan perwakilan Amanah Sarawak Andri Zulkarnaen yang secara terbuka mendesak kerajaan pimpinan Dr Mahathir Mohamad menukarkan Gobind.

Andri berkata, Gobind tidak menunjukkan prestasi baik dalam mengemudi kementerian itu dan gagal mempromosi kejayaan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Kita mesti merombak kepimpinan kerajaan sedia ada dengan menukar menteri yang tidak ‘perform’. Saya tak sebut menteri Amanah, menteri yang tak perform itu kena tukarlah, tak kira parti mana.

“(Gobind) juga gagal mempertahankan kerajaan PH daripada serangan musuh. Begitu juga sebahagian menteri yang tidak ‘perform’, yang tak perlu saya senaraikan di sini,” katanya ketika membahas ucapan presiden pada konvensyen Amanah hari ini.

Sementara itu, pengarah komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad pada sidang media sama berharap anggota parti komponen PH, termasuk Gobind tidak terasa hati dengan gesaan itu.

“Kita nak ‘highlight’ juga ini budaya dalam Amanah. Itu tujuan kita adakan konvensyen, kita nak orang kritik kita. Harap kawan-kawan kita tak terasa,” kata Khalid.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.