
Anwar menjelaskan beliau hanya mahu merujuk kisah yang disebutkan dalam sejarah itu, dan bukannya mengenai Azmin.
“Apa kena mengena dengan Si Kitol? Dia terasa, itu masalah dia. Itu kenyataan sejarah,” katanya kepada pemberita selesai selesai perbahasan ucapan dasar oleh perwakilan pada Kongres Nasional PKR di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) hari ini.
Si Kitol merupakan watak yang digambarkan sebagai pembelot yang membawa kepada kejatuhan kerajaan Melaka di tangan Portugis.
Sebelum itu, Azmin dan sekutu pada sidang media berasingan di sebuah hotel menyuarakan rasa tidak puas hati dengan ucapan dasar Anwar dan perwakilan lain di kongres itu.
Menurut Azmin, ucapan Anwar yang menyorot kisah Si Kitol dan Raja Mendeliar jelas membuka laluan kepada para pembahas yang lain untuk melakukan serangan peribadi.
Turut hadir pada sidang media itu Naib Presiden Zuraida Kamaruddin, Tian Chua dan Ali Biju, Ketua Wanita Haniza Talha dan timbalannya, Daroyah Alwi, dan Timbalan Ketua Pemuda, Hilman Idham.
Mengenai kandungan ucapan perwakilan itu, Anwar berkata pimpinan PKR tidak boleh kawal perbahasan kongres.
“Kita hanya boleh nasihat (perwakilan)…tetapi sampai tak boleh tegur (pemimpin), macam mana? Perwakilan tegur (pemimpin) tak datang mesyuarat, saya nak larang (teguran) macam mana?”
“Saya dah bagi nasihat dalam ucapan dasar, jadi terpulang kepada perwakikan. Nak kawal semua ucapan, susahlah,” tambahnya.
Anwar juga menafikan ramai perwakilan dan ahli keluar dewan kerana “menunjuk perasaan”.