
Beliau berkata, rakaman audio berkenaan adalah palsu yang dibuat oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan niat untuk menakutkan serta membangkitkan kegusaran masyarakat.
“Oleh itu polis menasihatkan orang ramai tidak sewenang-wenangnya menggunakan platform media sosial serta rangkaian komunikasi lain untuk menyebar maklumat palsu sehingga boleh membangkitkan sentimen perkauman atau menyentuh sensitiviti keagamaan.
“Orang ramai dinasihatkan untuk menghubungi polis bagi tujuan pengesahan jika terkesan dengan berita yang meragukan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Mazlan berkata, polis memberi amaran dan melarang berkongsi serta menularkan berita sedemikian kerana ia boleh menjejaskan keharmonian kaum serta kesejahteraan negara.
Baru-baru ini tular di media sosial, beberapa rakaman audio mendakwa akan berlaku kacau-bilau perkauman pada 7 dan 8 Dis ini dan meminta orang ramai untuk tidak keluar rumah pada dua hari berkenaan.