Panjangkan masa penamaan calon antara 15 agenda reformasi ERC

Panjangkan masa penamaan calon antara 15 agenda reformasi ERC

Pengerusi ERC berkata, terdapat cadangan pengumuman tarikh PRU 6 bulan lebih awal seperti diamalkan negara maju untuk memudahkan SPR membuat persediaan dan mengelakkan pembaziran.

Calon Barisan Nasional, Zakaria Hanafi (dua dari kanan) bersama penyokong dan pencadangnya ketika proses pencalonan bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Semenyih di pusat penamaan calon di Majlis Perbandaran Kajang pada 16 Feb lalu. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Tempoh penamaan calon hanya satu jam perlu dipanjangkan bagi memberi kemudahan kepada bakal calon pilihan raya, kata Pengerusi Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC), Abdul Rashid Abdul Rahman.

Beliau berkata, perkara itu antara 15 agenda reformasi yang dikemukakan ERC bagi menambah baik sistem pilihan raya di negara ini supaya lebih telus dan tersusun.

“Kita perlu buat sesuatu yang tidak menyusahkan dan memberi kemudahan kepada mereka yang mahu menjadi calon. Tidak sesuai masa sekarang ini kita bagi mereka satu jam saja…dalam satu hari pergi berebut ke penamaan calon dengan membawa penyokong ramai bersorak serta membuat provokasi.

“Tidak ada lagi negara buat macam kita, jadi ERC kemukakan perkara ini supaya penamaan boleh dibuat dalam masa 5 hari misalnya. Oleh itu, bakal calon mempunyai banyak masa dan boleh senyap-senyap pergi masuk dan daftar diri mereka,” katanya dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam tadi.

Beliau berkata, antara lain yang boleh dilakukan ialah dengan memberikan kemudahan kepada bakal calon untuk mendaftar diri secara dalam talian.

“Oleh itu, mereka tidak perlu datang ke tempat penamaan calon, di rumah saja dia boleh taip dan daftar masuk sebagai calon dan selepas 4 ke 5 hari, barulah dipamerkan kepada umum.”

Katanya, ia akan memastikan proses berkenaan menjadi lebih teratur, tenteram serta lebih demokratik.

Sementara itu, Rashid berkata, ada juga cadangan supaya pengumuman tarikh PRU dilakukan 6 bulan lebih awal seperti diamalkan negara maju.

Katanya, ia akan memudahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat persediaan dan mengelakkan pembaziran, manakala parti politik yang bertanding pula bersedia mencari dana bagi pilihan raya tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.