
Katanya, daripada jumlah itu hanya 22 daripada 84 anggota Parlimen pembangkang yang berbuat demikian.
“Rekod saya menunjukkan semua ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) telah mengisytiharkan aset mereka kepada speaker Dewan, dengan satu salinan akan diberikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di lobi Parlimen tadi.
Beliau berkata, pengisytiharan aset itu adalah berdasarkan usul yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada Julai lepas.
Apabila ditanya sama ada ahli Parlimen akan diberikan lanjutan untuk mengemukakan dokumen perisytiharan mereka, beliau berkata ia terpulang kepada keputusan speaker, tetapi hanya jika ahli Parlimen meminta tempoh lanjutan itu pada hari ini.
Liew berkata, tindakan akan diambil terhadap mereka yang tidak mengisytihar harta atau meminta masa lanjutan untuk berbuat demikian.
“Ini adalah usul daripada dewan. Sekiranya mereka tidak menghormati usul, ia menghina Dewan Rakyat,” katanya, dengan menambah bahawa ahli Parlimen harus tahu implikasi sekiranya mereka tidak mematuhi usul tersebut.