Pemimpin tak didakwa bukti PAS lawan rasuah, wakil rakyat tegur DAP

Pemimpin tak didakwa bukti PAS lawan rasuah, wakil rakyat tegur DAP

Che Abdullah Mat Nawi mengingatkan tiada seorang wakil rakyat PAS didakwa atas kesalahan rasuah.

KUALA LUMPUR: Wakil rakyat PAS hari ini menepis dakwaan mengatakan parti Islam terbesar itu tidak menentang isu rasuah, mengingatkan tiada pemimpinnya pernah didakwa atas tuduhan jenayah itu.

Che Abdullah Mat Nawi (PAS-Tumpat) meminta wakil rakyat DAP, Pang Hok Liong (PH-Labis) memberitahu siapa pemimpinnya yang didakwa rasuah, termasuk di Kelantan sejak 1990-an.

“Pernah dengar ada pemimpin, ahli Parlimen, menteri besar, timbalan menteri besar, dan exco PAS didakwa rasuah, termasuk selama 30 tahun PAS memerintah Kelantan?”

“Sehingga hari ini ada kita dengar mereka terlibat rasuah? Kenapa? Sebab kita tentang rasuah,” katanya di Dewan Rakyat ketika membahaskan laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Pang sebelum itu mencelah perbahasan Abdullah mengenai golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT). Beliau menyoal kenapa PAS mengkritik golongan itu tetapi tidak pula mengkritik rasuah.

Che Abdullah berkata PAS sebenarnya mahu golongan itu “kembali ke pangkal jalan”.

“Pada pandangan saya, semua agama menentang LGBT. Kalau saya silap, betulkan saya, tapi jelas Islam tidak benarkan LGBT namun dengan penuh kasih sayang, dengan harapan menyelamatkan mereka,” katanya.

“Kalau kenyataan itu silap, kalau ada mana-mana agama benarkan LGBT, sila maklum kepada saya, saya boleh tarik balik.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.