UOB Malaysia jangka ekonomi negara tumbuh 4.4% tahun depan

UOB Malaysia jangka ekonomi negara tumbuh 4.4% tahun depan

Ketegangan perdagangan antara AS dan China akan memberi cabaran kepada Malaysia dalam separuh pertama 2020.

Menurut UOB Malaysia, unjuran pertumbuhan KDNK 4.4% tahun depan berbanding 4.6% bagi 2019 juga disebabkan pelaburan asing dan sektor awam yang rendah menjejaskan pertumbuhan domestik.
KUALA LUMPUR:
Ekonomi Malaysia dijangka berkembang perlahan pada kadar keluaran negara kasar (KDNK) 4.4% pada 2020 berikutan faktor luaran tidak menentu akibat peningkatan ketegangan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China dan pertumbuhan global yang lemah.

Ahli ekonomi kanan United Overseas Bank Malaysia Bhd (UOB Malaysia) Julia Goh berkata, ketegangan perdagangan antara kedua-dua negara itu akan memberi cabaran kepada Malaysia dalam separuh pertama 2020.

“Kami rasa ketegangan perdagangan antara AS-China berterusan melangkah ke 2020 dan melangkaui isu tarif ke bidang lain dalam pelaburan dan teknologi.

“Kami juga menimbang potensi tarif merentasi ke negara lain dan juga risiko geopolitik di bahagian lain di dunia seperti Timur Tengah dan Korea Utara,” katanya kepada pemberita pada taklimat media di sini, hari ini.

Beliau berkata unjuran KDNK oleh UOB Malaysia pada 4.4% tahun depan berbanding 4.6% bagi 2019 juga adalah disebabkan oleh pelaburan asing dan sektor awam rendah yang menjejaskan pertumbuhan domestik.

Bagaimanapun, UOB Malaysia menjangka perbelanjaan sektor swasta, terutamanya dalam penggunaan swasta kekal kukuh dan menyokong pertumbuhan negara.

Setakat ini, perbelanjaan sektor swasta menyumbang 77% daripada KDNK Malaysia dan 4.5% kepada keseluruhan pertumbuhan negara.

“Pemacu pertumbuhan lain, termasuklah asas makroekonomi stabil negara dan bilangan pelaburan diluluskan tinggi ke Malaysia direalisasikan pada 2020.

“Perbelanjaan kerajaan yang besar juga boleh menyediakan rangsangan kepada pertumbuhan pada 2020, manakala Belanjawan 2020 adalah belanjawan pengembangan dengan langkah tindakan awal disediakan bagi menyokong ekonomi,” kata Goh.

UOB Malaysia menjangka Bank Negara Malaysia menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.75% dalam suku pertama 2020.

“Ini sejajar dengan aliran meluas oleh bank global untuk mengambil tindakan awal bagi mengurangkan risiko penurunan pertumbuhan dan membantu mengimbangi kesan negatif daripada ketegangan perdagangan AS-China.

“UOB Malaysia akan terus merangsang ekonomi domestik di tengah-tengah keadaan perdagangan yang tidak menentu. Kami terus menyokong perniagaan, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana.

“Kami juga menyediakan banyak kaedah bagi syarikat untuk melindung nilai risiko pertukaran asing mereka,” kata Goh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.