6 sekeluarga mengaku tidak bersalah cederakan guru wanita

6 sekeluarga mengaku tidak bersalah cederakan guru wanita

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang boleh dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 3 tahun atau denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Kesemua tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera kepada Faujiah Piong menggunakan kerusi di kelas Tabika Kemas Kampung Sungai Buaya, Semporna, 21 Okt lalu.
SEMPORNA:
Enam sekeluarga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang guru tadika wanita pada Okt lalu.

Kinnau Ampong, 62, bersama suaminya, Abd Wahab Saad, 65, serta tiga anak mereka Elly Zurina, 40, Mohd Nasuha, 29, dan Mohd Nizam Afiq, 18, selain anak buah, Sufian Maizin, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan timbalan pendaftar Mahkamah Tinggi Amir Shah Amir Hassan.

Mengikut kertas pertuduhan, kesemua tertuduh dengan sengaja menyebabkan cedera kepada Faujiah Piong, 35, menggunakan senjata seperti kerusi di dalam kelas Tabika Kemas Kampung Sungai Buaya, Semporna, kira-kira 8 pagi pada 21 Okt lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang boleh dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 3 tahun atau dengan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin sebelum menetapkan 20 Jan tahun depan bagi sebutan semula kes.

Di mahkamah sama, Mohd Nasuha, Mohd Nizam dan Sufian turut mengaku tidak bersalah di hadapan Amir Shah atas pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah terhadap Faujiah dengan niat untuk mencabul kehormatan mangsa pada tarikh, waktu dan lokasi sama kejadian.

Mengikut kertas pertuduhan, ketiga-tiga mereka jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara selama 10 tahun atau didenda atau disebat atau mana-mana 2 daripada hukuman tersebut.

Amir Shah menetapkan ketiga-tiga mereka juga diikat jamin setiap seorang RM1,000 dengan seorang penjamin, selain sebutan semula kes juga pada 20 Jan depan.

Kes pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa Jamal Tampak, manakala kesemua tertuduh diwakili seorang peguam yang enggan namanya didedahkan.

Selain itu, mangsa turut melantik Mohd Luqman Syazwan Zabidi sebagai peguam pemerhati sepanjang prosiding mahkamah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.