Tajuddin tak bertamadun, setiausaha politik Rayer lapor polis kenyataan abu suci

Tajuddin tak bertamadun, setiausaha politik Rayer lapor polis kenyataan abu suci

Vemal Arasan menggesa polis menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap Tajuddin Abdul Rahman kerana mengganggu ketenteraman awam dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Setiausaha politik ahli Parlimen Jelutong, Vemal Arasan (tiga dari kanan) bersama ahli DAP membuat laporan terhadap Tajuddin Abdul Rahman di Klang hari ini.
KLANG:
Setiausaha politik seorang wakil rakyat DAP membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman kerana mengaitkan abu suci Hindu dengan abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng, semalam.

Vemal Arasan menyifatkan kenyataan Tajuddin yang menyasarkan majikannya merangkap Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer di Dewan Rakyat semalam tidak bertamadun.

Beliau menggesa polis menyiasat dan mengambil tindakan tegas ke atas ahli Majlis Tertinggi Umno itu kerana mengganggu ketenteraman awam dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

“Kelakuan ini tidak bertamadun dan tidak boleh dilindungi dengan kekebalan Parlimen kerana kenyataan diberikan semalam tak ada kena-mengena dengan perkara nasional.

“Saya dengar Tajuddin berkali-kali, iaitu sebanyak 4 kali beri kenyataan ‘vibuthi’ dipakai Rayer merupakan abu mayat bekas pemimpin komunis, Chin Peng.

“Ini bukan hanya hina dan memalukan penganut Hindu, tetapi seluruh rakyat Malaysia,” katanya bersama 20 ahli DAP selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan hari ini.

Beliau turut menggesa Speaker Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusof mengambil tindakan tegas dengan melanjutkan penggantungan ke atas Tajuddin melebihi 2 hari.

Semalam, Tajuddin digantung 2 hari daripada sidang Dewan Rakyat selepas mempersoalkan jika abu suci di dahi Rayer ada kaitan dengan abu mayat Chin Peng.

Rayer menuntut Tajuddin memohon maaf dan menarik balik kenyataannya yang disifatkan penghinaan terhadap penganut Hindu.

Tajuddin menarik balik kenyataannya selepas diasak beberapa ahli Parlimen beragama Hindu.

Abu mayat Chin Peng menjadi perbualan selepas media melaporkan ia dibawa ke Perak dan ditabur di laut berhampiran Lumut serta kaki banjaran Titiwangsa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.