Putrajaya umum RM40 juta bagi TAR UC melalui tabung amanah

Putrajaya umum RM40 juta bagi TAR UC melalui tabung amanah

Menteri kewangan berkata, peruntukan itu akan menjawab dakwaan pihak tidak bertanggungjawab yang dana itu tidak sah dari segi undang-undang.

Tabung amanah yang dikendalikan TAA akan menguruskan peruntukan RM40 juta bagi manfaat TAR UC dan pelajarnya.
PETALING JAYA:
Kementerian Kewangan mengumumkan peruntukan RM40 juta akan disalurkan kepada tabung amanah dikendalikan Persatuan Alumni Tunku Abdul Rahman (TAA) yang dijangka diluluskan akhir bulan ini.

“Untuk tahun ini, sebanyak RM40 juta akan diperuntukkan. Selain TAA, pemegang amanah yang dicadangkan masing-masing akan mempunyai seorang wakil dalam kalangan pelajar TAR UC dan Kementerian Kewangan.

“Peruntukan RM40 juta ini akan menjawab secara muktamad pembohongan yang dilontarkan pihak tidak bertanggungjawab bahawa peruntukan tersebut tidak sah dari segi undang-undang,” kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam kenyataan hari ini, sambil menambah pengkritik kerajaan belum menjelaskan dakwaan mereka.

Putrajaya sebelum ini berjanji akan memberi sekurang-kurangnya RM30 juta setiap tahun kepada tabung amanah itu untuk manfaat TAR UC dan pelajarnya.

Lim berkata, TAA harus diberi peluang untuk membuktikan cara mereka menggunakan dana bagi manfaat dan kebajikan pelajar TAR UC.

Sebelum ini, Lim menafikan wang dalam tabung amanah itu hanya boleh digunakan jika MCA melepaskan kuasa milikannya.

Katanya, wang itu hanya boleh disalurkan terus kepada TAR UC, jika MCA melepaskan kuasa milikan, pentadbiran dan jawatan dalam lembaga pemegang amanah serta pengarah institusi pengajian tinggi swasta itu.

Ahad lalu, Presiden MCA, Wee Ka Siong mencabar Lim berdebat dengannya berhubung isu dana TAR UC, selepas setiausaha agung DAP itu berkata, institusi pendidikan tidak patut dikuasai ahli dan parti politik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.