Benar orang kata, jika kita merasakan kehidupan kini susah, sebenarnya ada yang lebih susah daripada itu.

Mendengar rintihan seorang ibu membesarkan tujuh orang anak sehingga terpaksa memberikan dua anaknya kepada orang lain, ia bukanlah perkara mudah untuk dilakukan.
Namun dalam keadaan terpaksa, Maslina Mohd Sabri atau Cik Na tidak mempunyai pilihan lain kerana memikirkan tidak mahu menyeksa kehidupan anak-anak tersebut.
Daripada tidak diberi makan dan hidup dalam kedaifan, lebih baik anak-anak itu hidup dalam keadaan teratur dan penuh kasih sayang setelah dirinya cuba mencari hala tuju setelah ditinggalkan suaminya bersama lima anaknya yang lain.
“Pernah sekali terpaksa membawa anak kelima ke hospital akibat seharian tidak makan sehingga lembik tetapi ketika itu pesakit terlalu ramai. Ketika itu dalam kocek hanya ada RM2 saja, jadi saya belikan roti dan air kosong dan tidak jadi berjumpa doktor,” katanya kepada FMT.

Mendengar cerita Cik Na yang mula menahan sebak, beliau berkata pada ketika itu terus membuang rasa malu dan memikirkan apa yang boleh dilakukan supaya anak-anak lain boleh meneruskan hidup dengan tidak kelaparan.
“Bagaimana nak makan bersama enam mulut dengan duit RM10 yang saya ada? Saya tahu takkan ada yang nak beri sahaja duit pada kita setiap hari. Saya betul-betul tawakal dengan meminjam motosikal jiran untuk pergi menjala ikan di sungai berhampiran Kem Tentera Paya Jaras, Sungai Buloh.

“Dengan keadaan saya tidak pernah menjala, saya dapat seguni ikan talapia, serta saya kutip sayur kangkung di tepi kawasan itu untuk dijadikan lauk makan dengan anak-anak,” katanya lagi.
Maslina dalam masa yang sama berkata beliau turut memikirkan bagaimana cara untuk menyimpan sejumlah ikan yang ditangkap itu supaya tidak busuk kerana rumahnya tidak mempunyai peti sejuk.
Menggunakan kemahiran yang ada Cik Na terus terfikir untuk membuat ikan pekasam memandangkan dia mempunyai bahan asas seperti beras dan asam keping untuk menghasilkan pekasam.

“Saya belajar sedikit demi sedikit, dari saya terkontang kanting ditinggalkan dengan anak, akhirnya saya nampak jalan apa yang harus dilakukan.
“Sememangnya Aneka Pekasam Ikan Cik Na ini benar-benar mengubah hidup saya dan anak-anak setakat ini,” katanya lagi.
Berkongsi tentang jumlah pendapatan yang diperoleh setakat ini, Cik Na berkata perniagaannya semakin berkembang maju sehingga mampu memperoleh RM20,000 sebulan.
Antara ikan pekasam yang dijual ialah ikan pekasam talapia, patin, gelama, sepat, lampam dan daging pekasam.

“Saya telah membuat perniagaan ini selama tiga tahun, sama umurnya dengan anak bongsu saya iaitu Amanda. Kalau ikutkan dengan jumlah pendapatan kini saya boleh mengambil mereka kembali untuk satukan semula dengan adik-beradik yang lain.
“Tapi saya kenang jasa baik mereka yang jaga Amanda dari dalam kandungan sehingga dilahirkan, mereka yang bawa saya ke klinik. Dan saya juga ingat bahawa kejayaan saya ini adalah kerana bantuan daripada Lembaga Zakat,” ujarnya.
Maka sebab itulah kejayaannya hari ini dikongsi bersama dengan golongan asnaf yang lain dalam membantu mereka mengembangkan perniagaan ikan pekasam sekaligus memenuhi permintaan pelanggan.

“Saya percaya setiap kesusahan itu sebenarnya ada yang tuhan nak kita belajar sesuatu, tapi kita sebagai manusia, kita perlu kuat.
“Dan sebagai ibu, sampai ke hujung nyawa akan saya korbankan demi kehidupan mereka,” ujarnya lagi.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]