
“Kami dah bincangkan persiapan kongres dan boleh saya maklumkan Kongres AMK (Pemuda) dan Wanita akan dirasmikan Timbalan Presiden, Azmin.
“Kedua-dua kongres akan ditutup oleh timbalan perdana menteri (yang juga Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail) pada Jumaat di sebelah petang.
“Semua pimpinan akan hadir kecuali mereka yang ada urusan di luar,” kata Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil selepas mesyuarat khas Biro Politik di bangunan Parlimen hari ini.
Kongres Wanita PKR dijadualkan berlangsung malam esok, manakala Pemuda pada Jumaat ini di Melaka.
Untuk rekod, Kongres Pemuda PKR dirasmikan timbalan presidennya sejak 20 tahun lalu.
Pada 21 Nov lalu, Ketua Pemuda PKR, Akmal Nasir berkata, mesyuarat jawatankuasa kongres memuktamadkan Azizah akan merasmikan kongres sayap itu atas kapasitinya sebagai timbalan perdana menteri.
Seminggu sebelum itu, Akmal dilaporkan berkata, mesyuarat Majlis Pimpinan Pemuda PKR pada 20 Okt lalu membatalkan jemputan Azmin kerana beliau tidak memberi jawapan selepas 6 minggu surat jemputan dihantar.
Azmin bertindak balas dengan menyifatkan wujud tangan ghaib mendorong Akmal membatalkan jemputan untuknya.
Akmal bagaimanapun menafikan tuduhan Azmin dan mendakwa sikapnya tidak hadir mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat dan Biro Politik selama setahun serta sering mengeluarkan kenyataan bercanggah dengan parti sebagai “tangan ghaib” yang merosakkan PKR.
Seramai 21 ahli Majlis Pimpinan Pemuda PKR turut membantah keputusan sayap itu membatalkan jemputan kepada Azmin untuk merasmikan kongres mereka Jumaat ini.