Ada tanda bilik CEO Cradle Fund sengaja dibakar, kata saksi

Ada tanda bilik CEO Cradle Fund sengaja dibakar, kata saksi

Pegawai penyiasat dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Abdul Halim Zulkefeli berkata, siasatannya menunjukkan kebakaran itu hanya tertumpu di beberapa tempat tertentu dalam bilik mangsa.

Pegawai penyiasat kebakaran dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Abdul Halim Zulkefeli memberi keterangan dalam perbicaraan kes pembunuhan CEO Cradle Fund, Nazrin Hassan di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, ada beberapa tanda menunjukkan bilik tidur Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund, Nazrin Hassan sengaja dibakar pada Jun 2018.

Saksi pendakwaan ke-15 yang juga pegawai penyiasat kebakaran dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Abdul Halim Zulkefeli berkata, siasatannya menunjukkan kebakaran itu hanya tertumpu di beberapa tempat tertentu dalam bilik berkenaan.

Ditanya Timbalan Pendakwa Raya Ashyraf Ashy’ari Kamaruzaman di depan Hakim Ab Karim Ab Rahman, apakah yang dimaksudkannya dengan “tertumpu”, Halim berkata, jika kebakaran dilakukan dengan sengaja, ia memang akan dibuat di tempat yang dirancang saja.

Katanya, terdapat beberapa bahan mudah terbakar, antaranya longgokan kertas dan gulungan tisu yang diletakkan berhampiran mangsa serta tilam tidak terbakar.

Ashyraf Ashy’ari: Si mati (Nazrin) badannya tidak terbakar, tapi ada beberapa tempat (daripada keseluruhan badannya) yang terbakar. Sama juga di katil. Jadi, apa punca ia berlaku dan tertumpu pada sesuatu tempat?

Halim: Ini adalah petunjuk yang membawa kepada kebakaran sengaja dilakukan kerana kebakaran itu tertumpu pada bahagian tertentu saja.

Ashyraf Ashy’ari: Adakah tumpuan itu memerlukan apa-apa agen untuk terbakar secara terbuka?

Halim: Dalam kebakaran disengajakan, kebiasaannya akan digunakan sebarang agen atau alat yang boleh bantu (cetuskan) kebakaran seperti petrol, diesel dan bahan bakar lain.

Ashyraf Ashy’ari: Dalam kes ini, apakah agen yang digunakan?

Halim: Setelah diambil sampel di kawasan terbakar dan dihantar kepada pegawai sains, keputusan (analisis) pada sampel itu menunjukkan petrol.

Ditanya Pengarah Pendakwaan Selangor, Salim Soib @ Hamid sama ada kebakaran itu boleh tercetus akibat litar pintas, Halim berkata, beliau mengambil kira faktor terbabit dalam siasatannya, namun mendapati tiada sebarang masalah berkaitan elektrik dalam kejadian berkenaan.

Beliau berkata, pemeriksaannya di seluruh rumah itu juga mendapati tahap keselamatan elektrik baik, namun ada 2 miniature circuit breaker (MCB) yang dipadamkan, mungkin sengaja dilakukan atau disebabkan “trip” elektrik.

Pada 12 Mac lepas, Samirah Muzaffar, 44, bekas eksekutif kanan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia yang juga isteri Nazrin, 47, dan 2 remaja lelaki berumur 14 serta 17 tahun didakwa bersama seorang warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari yang masih bebas, membunuh CEO berkenaan.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Mutiara Homes, Mutiara Damansara, antara 11.30 malam 13 Jun 2018 dan 4 pagi 14 Jun 2018.

Tuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta sama, memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.