Jualan Proton naik 100% pada Nov

Jualan Proton naik 100% pada Nov

Proton Holdings Bhd berkata, sebanyak 89,476 unit kenderaan dijual sepanjang tahun ini, iaitu pertumbuhan 50.1% tahun ke tahun, dan bahagian pasaran berkembang dengan anggaran 16.2%.

Proton Holdings Bhd berkata, model terbaru Proton Saga menduduki senarai teratas jualan sedan segmen A dengan 34,422 unit terjual sepanjang tahun ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Pengeluar kereta nasional, Proton mencatat prestasi kukuh pada November apabila jualan tahun ke tahunnya meningkat 100% dengan 9,643 unit terjual.

Proton Holdings Bhd dalam kenyataan hari ini berkata, kuantiti terkumpul tahun ini berjumlah 89,476 unit, iaitu pertumbuhan 50.1% tahun ke tahun, manakala bahagian pasaran pula berkembang dengan anggaran 16.2% bagi keseluruhan tahun ini.

Model Proton Saga mencatatkan jualan bulan ketiga berturut-turut melepasi paras 4,000 unit dengan 4,091 kereta diserahkan bulan lalu.

Model terbaru Proton itu menduduki senarai teratas dalam jualan sedan segmen A dengan 34,422 unit terjual sepanjang tahun ini.

Pertumbuhan kuantitinya kini di tahap memberangsangkan pada 32%, yang terbaik setakat ini bagi mana-mana model dalam segmen tersebut.

“Cabaran kami adalah meningkatkan kapasiti pengeluaran bagi Saga dan kami mengadakan perbincangan menyeluruh dengan vendor kami untuk berusaha meningkatkan kuantiti tahun depan,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Li Chunrong.

Sementara itu, jualan kenderaan utiliti sukan (SUV) pertama Proton, Proton X70 tidak menunjukkan sebarang penurunan.

Proton X70 akan meraikan ulang tahun pertamanya pada 12 Dis ini.

“Proton X70 adalah kejayaan terbesar kami bagi 2019. Ia membolehkan Proton memasuki segmen baru tanpa sebarang pengalaman pasaran dan setahun kemudiannya, ia muncul sebagai peneraju jualan yang tidak boleh dipertikaikan lagi,” kata Li sambil menambah jualan Proton X70 meningkat dengan 2,000 unit terjual bulan lalu.

“Peningkatan itu membuktikan pelanggan masih berminat dengan SUV pintar itu dan kami menyasar meningkatkan minat tersebut tahun depan.”

Memandangkan pengembangan kilang baru di Tanjung Malim semakin hampir memulakan aktiviti pengeluaran, jurutera Proton, katanya, bertekad menghasilkan produk kualitinya yang menyaingi atau lebih baik daripada kenderaan yang dihasilkan anggota lain daripada kumpulan jenama automotif Geely Auto.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.